- Iklan -
Berita

432 kes Covid-19 hari ini, menteri, Adun disahkan positif

Kedah catat kes tertinggi iaitu 241 kes dan Sabah 130 kes.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Statistik yang dikeluarkan KKM untuk perkembangan terkini kes Covid-19 5 Oktober 2020.
Statistik yang dikeluarkan KKM untuk perkembangan terkini kes Covid-19 5 Oktober 2020.

Seorang individu yang menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Oktober 2020 disahkan positif jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Pada ketika itu, memang beliau tidak mengalami sebarang gejala jangkitan Covid-19. Oleh yang demikian, kini beliau telah dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada bagi kes disahkan positif Covid-19.

“Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan swab bagi pengesanan jangkitan Covid-19. Kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diberikan Surat Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak),” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya semua yang hadir ke mesyuarat tersebut sudah menjalani saringan kesihatan hari ini serta sampel diambil untuk ujian pengesanan jangkitan Covid-19.

“Mereka yang dikenalpasti kontak rapat semasa mesyuarat diberikan HSO selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan. Manakala ahli mesyuarat yang lain pula yang bukan merupakan kontak rapat dikehendaki memantau status kesihatan kendiri (self-health monitoring) di rumah setiap hari selama 14 hari dengan menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Mereka dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut.

“KKM ingin memohon orang ramai agar tidak khuatir dengan kejadian ini dan tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Orang ramai akan dimaklumkan mengenai status jangkitan Covid-19 di Malaysia dari semasa ke semasa secara kenyataan media rasmi KKM. Maklumat lanjut boleh diperolehi dari laman sesawang KKM: http://covid-19.moh.gov.my.

Kedah mencatatkan kes tertinggi positif Covid-19 hari ini iaitu 241 kes diikuti dengan Sabah iaitu 130 kes.

Sehingga kini jumlah keseluruhan kes aktif yang dilaporkan ialah 2,336 kes seluruh negara.

Daripada 432 kes yang dilaporkan 409 terdiri daripada rakyat tempatan manakala 20 lagi bukan warganegara.

Manakala kes import pula terdapat 3 kes iaitu 2 warganegara dan seorang bukan warganegara.

Sehingga kini 32 pesakit dirawat di ICU dan 8 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

57 pesakit pula pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei mengesahkan dirinya dijangkiti Covid-19.

Yi Wei dalam satu kenyataan hari ini berkata, dirinya disahkan positif hari ini selepas melakukan ujian kedua pada 2 Oktober lalu.

“Selepas kembali dari Sabah pada 27 September, saya melakukan ujian saringan pertama di KLIA2 dan dipakaikan gelang merah jambu. Sejak hari pertama, saya mengamalkan pengasingan kendiri di rumah,”

“Pada 30 September, keputusan ujian saringan pertama negatif dan dipanggil untuk menanggalkan gelang merah jambu. Namun, saya telah mengalami gejala dan diarahkan melakukan ujian kali kedua,” katanya dalam kenyataan itu.