- Iklan -
Berita

Tiada cara lain, ajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, kata Dr Mahathir

Sekolah kebangsaan mempunyai murid pelbagai kaum ketika zaman aliran Inggeris dahulu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri Malaysia selama dua kali semasa wawancara bersama MalaysiaNow.
Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri Malaysia selama dua kali semasa wawancara bersama MalaysiaNow.

Penekanan kepada penggunaan bahasa Inggeris dalam kurikulum serta tumpuan terhadap subjek sains dan matematik akan menjadikan sekolah kebangsaan kembali relevan dan diterima ramai, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri yang pernah menjadi menteri pendidikan pada tahun 1970 an itu berkata, semasa Malaysia masih mempunyai sekolah dalam aliran Inggeris dahulu,sekolah kebangsaan menjadi popular dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Mungkin dia nak hantar anak dia ke luar negeri. Jadi, nak kena kuasai bahasa Inggeris. Nak pergi ke Jepun pun kena fasih bahasa Inggeris,” kata Mahathir kepada MalaysiaNow dalam wawancara selama satu jam tentang pelbagai topik di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, dahulu orang Malaysia dikenali sebagai fasih dalam bahasa Inggeris.

“Sekarang tak macam itu dah.”

“Jangan korbankan ilmu sebab nak utamakan bahasa. Sebab itu saya selalu tekan pengajaran sains dan matematik mesti dalam bahasa Inggeris,” katanya.

“Terdapat ribuan kajian dan kertas penyelidikan saintifik jurusan sains diterbitkan setiap hari. Tanpa kemahiran dalam bahasa Inggeris, Malaysia tidak berupaya untuk menguasai penemuan-penemuan baru.”

Menurut Mahathir, masalah itu tidak boleh diatasi dengan bergantung kepada tugas penterjemah yang menterjemahkan kajian ke dalam bahasa Melayu.

Katanya, ini kerana penterjemah bukan sahaja perlu mahir dalam bahasa tetapi juga bidang ilmu yang diterjemah.