- Iklan -
Berita

Tiada keperluan untuk laksana PKP, kata menteri

Meskipun angka positif Covid-19 dilihat besar, namun kebanyakan kes hanya melibatkan tahanan penjara di Kedah dan Sabah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaacob.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaacob.

Tidak ada keperluan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata meskipun angka positif Covid-19 dilihat besar, namun kebanyakan kes itu melibatkan tahanan penjara di Kedah dan Sabah, yang terasing daripada komuniti.

“PKP ke hari ini? Tidak… kita tidak akan mengisytiharkan PKP kerana contohnya semalam, walaupun mencatatkan jumlah 287 kes tetapi 128 daripada 129 kes di Kedah misalnya, adalah melibatkan Kluster Tembok iaitu mereka di dalam penjara.

“Di Sabah, 35 kes adalah melibatkan Kluster Benteng juga di penjara… yang di luar 78 kes dan walaupun angka itu juga besar namun kami sudah buat kawalan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kes di negeri-negeri lain juga mencatatkan angka yang rendah, sama ada satu hingga tiga kes sahaja, kecuali Selangor 31, namun ia belum sampai ke tahap merah.