- Iklan -
Berita

Peminjam cari jalan keluar selepas moratorium bank berakhir

Semakan mendapati bank akan melanjutkan moratorium dan menstrukturkan semula pinjaman.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita menunggu gilirannya untuk bertemu dengan pegawai bank.
Seorang wanita menunggu gilirannya untuk bertemu dengan pegawai bank.

Berakhirnya enam bulan moratorium pinjaman bermakna jutaan rakyat Malaysia akan kembali membayar kepada bank, walaupun masih tidak mempunyai pekerjaan tetap dan punca pendapatan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan untuk mengekang pandemik Covid-19 menyebabkan perniagaan terjejas atau terus gulung tikar, dengan pekerja menjadi mangsa kepada penjimatan kos dilakukan syarikat.

Untuk mengurangkan beban orang ramai yang terjejas pendapatan akibat pandemik itu, kerajaan mengumumkan moratorium bermula 1 April lalu hingga 30 September.

Moratorium dialu-alukan, tetapi ramai tidak menjangkakan pandemik masih berterusan pada Oktober.

Disebabkan itu bank mengumumkan langkah untuk membenarkan peminjam memanjangkan moratorium mereka.

Peminjam yang ditemui berkata perbelanjaan bulanan tidak mencukupi apabila terpaksa menanggung beban bayar hutang kereta, rumah serta beberapa lagi bayaran wajib setiap bulan.

“Saya bekerja di syarikat swasta, masa PKP kami diberhentikan dengan alasan tiada pendapatan untuk bayar gaji.

“Jadi saya datang ke bank nak mohon supaya moratorium saya dilanjutkan memandangkan saya masih tiada pendapatan tetap untuk bayar komitmen saya dengan bank,” kata Salbiah, 36, antara yang berbaris panjang di sebuah bank di Kuala Lumpur.

Seorang lagi peminjam berasa lega apabila pihak bank mengambil inisiatif untuk melanjutkan tempoh permohonan bagi penstrukturan semula dan penjadualan semula pinjaman rumah dan keretanya.

“Walaupun saya masih bekerja tapi gaji saya kena potong banyak juga. Jadi saya sangat berharap permohonan saya diterima kalau tak susah hidup saya,” kata Ibrahim, 41.

Tarikh akhir untuk memohon perlanjutan moratorium sudah berakhir pada 30 September.

MalaysiaNow difahamkan kebanyakan bank mengambil inisiatif untuk melanjutkan proses permohonan moratorium secara berperingkat sehingga akhir tahun bagi memudahkan semua peminjam yang berdepan masalah kewangan.

Inisiatif ini juga dibuat memandangkan peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini sekaligus bagi mengelak daripada semua peminjam berpusu-pusu ke bank dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Dua golongan yang layak untuk membuat permohonan ini termasuklah individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baru.

Mereka akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan dan selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Manakala golongan kedua yang layak memohon adalah individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat Covid-19.

Selain permohonan lanjutan moratorium, bank turut menawarkan pengurangan ansuran selaras dengan kadar pengurangan gaji untuk tempoh minimum selama enam bulan.

Manakala pelanggan yang mempunyai kemudahan sewa beli ditawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli.

Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran ansuran pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah.

Menurut data Bank Negara Malaysia (BNM), sehingga 20 Julai 2020, lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93% daripada kesemua peminjam mendapat manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman yang bernilai RM38.3 bilion.

Pada tempoh yang sama, 243,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau 95% daripada keseluruhan peminjam PKS menerima manfaat daripada moratorium dengan nilai RM20.7 bilion.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas pada 23 September lalu mendedahkan 98% permohonan moratorium lanjutan dan bantuan bank secara bersasar diluluskan.

Sehingga 11 September, pihak bank berhubung dengan 1.4 juta daripada dua juta peminjam dan lebih 380,000 sudah mengesahkan memerlukan bantuan pembayaran balik pinjaman, manakala bakinya sedang mempertimbangkan opsyen pembiayaan yang ada.