- Iklan -
Berita

317 kes Covid-19 hari ini, satu kematian

317 kes jangkitan tempatan dengan 37 mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah

Kes baru jangkitan Covid-19 terus mencatatkan peningkatan dengan 317 disahkan positif hari ini dengan kesemuanya merupakan penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 317 kes baru itu sebanyak 37 jangkitan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Terdapat satu kes kematian baru menjadikan jumlah keseluruhan 137 orang,” katanya.

Noor Hisham berkata, terdapat tiga kluster baru dikesan iaitu dua di Kedah dikenali Kluster Bah Lunas dan Kluster Bah Rose, manakala satu di Selangor dikenali Kluster Jelok.

Kluster Bah Lunas dikesan di Kulim, Kedah, dengan kes indeks, kes ke-11,471 mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko di Sabah.

Lelaki berusia 35 tahun itu dikesan positif pada 30 September lepas dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif Covid-19 bagi Kluster Bah Lunas dikenal pasti.

“Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Memperincikan kluster yang puncanya masih di dalam siasatan, beliau berkata 112 individu telah disaring dengan empat kes dikesan positif, 21 negatif manakala 87 masih menunggu keputusan.