- Iklan -
Berita

Perlumbaan hasilkan vaksin Covid-19 timbulkan banyak persoalan

Keselamatan, kos dan keberkesanannya antara isu utamanya.

Amanda Suriya
2 minit bacaan
Kongsi
Perlumbaan menghasilkan vaksin Covid-19 timbulkan banyak persoalan.
Perlumbaan menghasilkan vaksin Covid-19 timbulkan banyak persoalan.

Tiga bulan lalu, China mula menguji eksperimen vaksin Covid-19 di bawah program kecemasan kerajaan, satu daripada 100 vaksin dibangunkan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Keperluan kepada vaksin itu sangat mendesak, hampir setahun selepas virus itu pertama kali dikesan di Wuhan, China, dan selepas jumlah kematian melebihi sejuta disebabkannya.

Akan tetapi dengan 26 daripada vaksin dibangunkan sedang menjalani ujian ke atas manusia, persoalan timbul mengenai keselamatannya, kos dan yang paling penting, keberkesanannya.

Seorang wartawan di China, salah seorang daripada ratusan ribu yang menerima vaksin eksperimen itu, mengalami pening kepala yang kemudiannya hilang selepas berehat sebentar.

Persoalannya adakah risiko sedemikian akan menghalang populasi global dalam usaha bagi melawan wabak yang menjangkiti lebih 35 juta penduduk seluruh dunia sehingga mengganggu kehidupan dan ekonomi.

Seorang penduduk, Chris Dripin Hinke berkata, asalkan vaksin tersebut diluluskan oleh pihak berkuasa, mereka sanggup untuk mengambilnya.

Hinke, 47, yang merupakan orang Sarawak kini menetap di Jerman berkata, risiko keluarganya terdedah kepada jangkitan adalah “terlalu tinggi” kerana suaminya mempunyai masalah pernafasan dan anak perempuannya menggunakan pengangkutan awam ke sekolah.

“Jika kami diberi vaksin secara berperingkat, suami saya yang pertama, kemudian anak saya dan terakhir baru diri saya sendiri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimana ia berfungsi

Mereka yang berisiko akan diutamakan selepas vaksin yang selamat dan efektif ditemui selari dengan polisi WHO.

Tetapi, sebelum sebarang rawatan atau ubat-ubatan diberikan, mereka perlu menjalani ujian.

Percubaan ujian klinikal bukan sahaja untuk menguji keberkesanan rawatan, tetapi ia juga mengesan kesan sampingan walaupun pada kadar 1% dalam populasi penduduk.

Ketika negara-negara dan syarikat-syarikat gergasi farmasi berlumba-lumba untuk menghasilkan vaksin Covid-19, kebimbangan tetap wujud mengenai kemampuan virus SARS-CoV-2 bermutasi.

Ini pasti akan menjejaskan keberkesanan vaksin yang dihasilkan menggunakan regangan sebelum itu dan tidak memberi kesan kepada virus yang bermutasi selepas itu.

Timbul juga persoalan mengenai nasionalisme vaksin, satu istilah yang diwujudkan untuk menggambarkan apa akan berlaku sekiranya kerajaan mengarahkan pihak pengeluar untuk menwujudkan vaksin secara eksklusif untuk penduduk negara itu.

Walaupun keputusan sedemikian menyebabkan kerajaan tidak perlu berurusan dengan agensi multinasional atau global, ia juga merupakan cara menjamin akses ke atas vaksin ketika dalam proses pembangunan atau ia diperbaharui pada masa depan.

Kandungan vaksin mungkin juga akan menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat disebabkan kepercayaan peribadi.

Rahul Dhir Bhutani, seorang berketurunan Hindu dan Punjabi berkata, jika ada vaksin yang berkesan dan mengandungi ramuan daripada lembu, ia tidak mendatangkan masalah buat dirinya.

Katanya, adalah mustahil memaksakan proses vaksinasi kepada semua orang, tetapi mengatakan mereka boleh disalahkan sekiranya tindakan untuk tidak mahu menggunakan vaksin menjejaskan keselamatan orang lain.

“Malah dengan vaksin demam, berapa kemampuan badan melindungi dirinya sendiri?”

Afzan Aziz, ibu tunggal tiga anak berusia 36 tahun berkata tidak kisah sekiranya kandungan vaksin yang digunakan mengandungi bahan dilarang agamanya kerana keselamatan anak-anaknya lebih diutamakan.

Persoalan mengenai kos, Rahul berkata, dia tidak terkejut sekiranya vaksin yang diuji dan diluluskan menelan kos antara RM200 hingga RM500 untuk setiap suntikan.

Katanya, apa yang paling utama adalah keberkesanan. Kebanyakan vaksin mengambil masa sehingga empat tahun sebelum memasuki fasa percubaan dan penyelidikan untuk disahkan selamat untuk digunakan.

Namun, Rahul berkata sanggup menunggu enam bulan selepas vaksin diperkenalkan, hanya sekadar berjaga-jaga.

Manakala Hinke percaya sebaik sahaja vaksin ditemui untuk digunakan, semua barisan hadapan perlu bersedia.

“Kita semua ada tugas untuk dilakukan, namun, memilih untuk tidak divaksinasi apabila anda tahu anda terdedah setiap masa – mereka perlu tahu mereka boleh menjangkiti kepada orang lain yang mungkin akan kehilangan orang tersayang”