- Iklan -
Berita

Fokus keselamatan rakyat, jangan desak adakan PRU15

Ketepikan perebutan kuasa dan utamakan keselamatan rakyat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Annuar Musa dilihat vokal mengkritik pimpinan Umno yang dilihat tidak jelas pendirian. Gambar: Bernama
Annuar Musa dilihat vokal mengkritik pimpinan Umno yang dilihat tidak jelas pendirian. Gambar: Bernama

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa menyeru ahli politik di negara ini agar mengenepikan dahulu perebutan kuasa dan mengutamakan keselamatan rakyat berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini sekarang.

“Covid-19 adalah satu perkara yang mana semua negara masih dalam proses memeranginya. Do not take this lightly (jangan pandang ringan perkara ini) dan jangan pula kita mendahulukan perebutan kuasa politik.

“… dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi nyawa dan keselamatan rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai dapatan tinjauan yang dibuat oleh Astro Awani yang mendapati lebih 80% netizen tidak bersetuju jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Wilayah Persekutuan itu yang bersetuju dengan pandangan netizen tersebut berkata berdasarkan pengalamannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, adalah sukar untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat.

“Sewaktu saya mengendalikan jentera pilihan raya di Sabah, memang berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP dan apabila mereka pulang ke Semenanjung berlaku penularan wabak itu di sini,” katanya.

Sebelum ini, sesetengah pemimpin politik menggesa agar diadakan PRU15 dalam masa terdekat susulan dakwaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru.

Sementara itu, Annuar menasihati warga kota agar mengamalkan Kawalan Pergerakan Sukarela yang diterjemahkan sebagai “meminimumkan pergerakan kepada yang perlu sahaja.”

“Contohnya, saya sendiri hanya pergi pejabat untuk perkara penting dan jika tiada apa-apa saya kurangkan pergerakan. Ini bukan bermakna kuarantin tetapi mengawal,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 260 kes baru Covid-19 di negara ini dengan 259 adalah penularan tempatan.