- Iklan -
Berita

287 kes baru Covid-19, tertinggi di Malaysia

Kes tertinggi di Malaysia sejak Covid-19 dikesan di negara ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah

Sebanyak 287 kes jangkitan tempatan Covid-19 dicatatkan hari ini, iaitu yang tertinggi sejak kali pertama Malaysia mengesan kes pertama Januari lalu.

Peningkatan tiga digit ini menjadikan jumlah kes keseluruhan positif kini 11,771 dengan 22 dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi manakala empat memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 81 kes sembuh dan tiada kematian baru dilaporkan.

Katanya, 20 daripada kes baru hari ini merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah.

Beliau berkata, pecahan kes berkenaan yang dikesan menerusi saringan merangkumi 13 di Selangor, masing-masing dua di Perak dan Negeri Sembilan, serta masing-masing satu kes di Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Memperincikan pecahan kes hari ini, Noor Hisham berkata Kedah menjadi negeri yang merekodkan kes baharu tertinggi iaitu 129 dengan 128 kes melibatkan Kluster Tembok.

Ini disusuli Sabah yang mencatatkan 113 kes baru merangkumi  52 kes saringan bergejala; 35 daripada kluster Benteng LD dan 15 kes melibatkan Kluster Bangau-Bangau.

Selangor pula mencatatkan 31 kes baru termasuk lapan daripada Kluster Seri Anggerik dan satu kes melibatkan Kluster Seri Setia, kedua-duanya merupakan kluster baru.

Turut merekodkan kes baru dalam tempoh 24 jam lepas ialah Perak dan Terengganu yang masing-masing mencatatkan tiga kes manakala Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing dua kes, katanya.

“Johor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan pula masing-masing merekodkan satu kes baru hari ini,” katanya.

Sepanjang tempoh 24 jam lepas hingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 81 kes pulih Covid-19 direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 10,095 kes.