Wednesday, April 21, 2021

Hantaran Twitter tentang PKP hanya sekadar peringatan, kata KP Kesihatan

Katanya, ia hanya bertujuan untuk mengingatkan rakyat Malaysia.

Other News

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan hantaran Twitternya pada awal pagi tadi hanyalah bertujuan menasihati rakyat Malaysia dan bukan memberi bayangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.

Menerusi akaun rasmi Twitternya @DGHisham membalas hantaran seorang pengguna @zalifahms yang mencadangkan agar dilaksanakan larangan pergerakan rentas negeri untuk sementara waktu.

Beliau membalas hantaran itu dengan: “How about all stay at Home for awhile again?” bagaimanapun menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat sekiranya kerajaan melaksanakan semula PKP.

“Perkara (twitter) itu bukan perkara yang baru. Sekali lagi saya mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia yang tiada urusan penting di luar, dinasihatkan duduk di rumah dan kalau nak keluar rumah kerana ada urusan penting, patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Itulah tujuan utama saya tweet (buat hantaran). Hanya mengingatkan rakyat Malaysia untuk duduk di rumah kalau tiada urusan penting, kalau ada urusan penting, pastikan kita patuh SOP, amalkan 3W (wash, wear and warn) dan elakkan 3S (sesak, sempit, sembang),” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedar ada dalam kalangan petugas kesihatan dan rakyat Malaysia yang letih dalam mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Tapi perlu diingatkan virus Covid-19 tidak pernah letih dan kalau kita leka dan ambil mudah, jangkitan akan berlaku kerana virus dah ada dalam komuniti.

“Kalau kita ambil mudah atau anggap keadaan sudah kembali normal, itu satu kesilapan besar dan ketidakpatuhan kita (mungkin) akan melihat jangkitan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata KKM menjangkakan berlaku gelombang baru jangkitan Covid-19 jika kes positif terus mencatatkan peningkatan.

“Bagaimanapun, tanggungjawabnya ialah pada kita sama ada kita boleh mendatarkan lengkung itu sekali lagi. Kita telah lakukannya sebelum ini dan kita boleh lakukan lagi, namun kita perlukan kerjasama semua orang, patuhi SOP,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata semua pihak termasuk pengurusan sekolah perlu menguruskan risiko jangkitan di institusi pendidikan masing-masing.

Beliau yang ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa di Selangor jika anak mereka ke sekolah berikutan kadar kebolehjangkitan yang tinggi ketika ini, berkata perkara itu ada dibincangkan oleh KKM bersama Kementerian Pendidikan (KPM).

“Memang risiko tetap ada. Kalau tak nak risiko kita semua duduk di rumah. Tetapi kalau kita keluar dari rumah, kita kena menguruskan risiko itu.

“Jadi setakat ini di sekolah kalau tiada jangkitan kita akan biarkan. Contohnya di Kedah, ada sekolah yang berlaku jangkitan di antara guru dan murid dan kita tutup sekolah serta jalankan proses nyah cemar dan nyah kuman di kawasan sekolah.

“Tapi setakat ini tiada laporan ada kluster di sekolah,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles