- Iklan -
Berita

FGV nafi gunakan buruh paksa seperti didakwa AS

FGV mengambil "langkah konkrit” sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi menunjukkan komitmen menghormati hak asasi manusia dan menjunjung dasar buruh standard.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
FGV menafikan dakwaan menggunakan buruh paksa seperti dikatakan Amerika Syarikat. Gambar: AP.
FGV menafikan dakwaan menggunakan buruh paksa seperti dikatakan Amerika Syarikat. Gambar: AP.

FGV Holdings Bhd (FGV) menafikan menggunakan buruh paksa seperti didakwa Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang mengakibatkan produk sawitnya disekat.

FGV berkata mereka kecewa dengan sekatan dilakukan CBP, mengatakan mereka sudah mengambil “langkah konkrit” sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi menunjukkan komitmen menghormati hak asasi manusia dan menjunjung dasar buruh standard.

“FGV menekankan segala isu yang dibangkitkan sudah menjadi perbincangan umum sejak 2015 dan FGV sudah mengambil beberapa langkah untuk memperbaiki situasi itu.

“Langkah-langkah FGV itu didokumentasikan dengan baik dan berada di domain awam,” kata FGV dalam kenyataannya hari ini.

Semalam CBP mengarahkan penerbitan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) terhadap produk sawit dan minyak sawit yang dihasilkan FGV berdasarkan maklumat secara munasabah yang menunjukkan berlaku penggunaan buruh paksa.

Menurut jabatan itu, perintah itu susulan penyiasatan yang dijalankan selama setahun apabila membawa pendedahan penggunaan buruh paksa termasuk penipuan; sekatan pergerakan; pengasingan; keganasan fizikal dan seksual; intimidasi dan ancaman; penyimpanan dokumen pengenalan diri; penahanan gaji; perhambaan hutang; keadaan hidup serta kerja berlebihan.

Sebagai respons kepada dakwaan ini, FGV berkata kesemua pekerja asing mereka yang kebanyakannya datang dari India dan Indonesia diambil mengikut saluran betul, dan menubuhkan empat pusat sehenti (one stop centre) di negara asal untuk memberi taklimat tentang terma kerja, skop kerja dan hak mereka.

WRO ini akan mengkehendaki penahanan minyak sawit yang dihasilkan FGV dan sebarang produk atau derivatif minyak sawit yang dapat dikesan dari minyak sawit yang dihasilkan FGV di semua pintu masuk pelabuhan AS.

CBP memberi peluang kepada pengimport yang barangnya ditahan untuk mengeksport penghantaran atau mengemukakan bukti bahawa barang dagangan berkenaan tidak dihasilkan oleh buruh paksa.

Menurut CBP, semua WRO tersedia untuk umum dan disenaraikan mengikut negara di halaman Perintah dan Penemuan Pelepasan Tahan Tenaga Kerja Paksa jabatan itu.