- Iklan -
Berita

260 kes baru Covid-19, tertinggi sejak PKPP dilaksanakan

Jumlah kes baru Covid-19 makin meningkat hari ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah

Negara hari ini menyaksikan jumlah kes baru Covid-19 pada angka tertinggi dengan 260 orang disahkan positif sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan sejak 10 Jun lalu.

Jumlah tersebut menjadikan kes aktif yang sedang menerima rawatan di hospital meningkat kepada 1,334 orang dengan 20 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi manakala tiga memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 260 kes baru yang dicatatkan hari ini, 259 merupakan jangkitan tempatan dan 1 kes import.

Katanya, tiada kes kematian baru dicatatkan hari ini dan kekal sebanyak 136.

Tambahnya, empat kluster baru Covid-19 turut dikenal pasti iaitu Kluster Jalan Meru di Selangor,  Kluster Joo Hwa di Sabah, Kluster Selasih di Putrajaya dan Kluster Bah Ketil di Kedah.

Kluster Jalan Meru dikenal pasti di Klang dengan kes indeks kluster itu (iaitu kes ke-11,148) melibatkan lelaki tempatan berumur 30 tahun, yang mula bergejala sejak 24 September.

“Beliau dikesan positif pada 29 September dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti melibatkan warga tempatan bagi kluster ini.

“Kontak rapat sedang dikenal pasti dan saringan sedang dirancang oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Berhubung Kluster Joo Hwa yang dikenal pasti di Tawau, Dr Noor Hisham berkata, kluster itu melibatkan kes indeks (iaitu kes ke-10,273) seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun.