- Iklan -
Berita

Umno berpecah belah bawah Zahid, kata Dr Mahathir

Umno kini berpecah kepada beberapa kumpulan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad semasa wawancara bersama MalaysiaNow di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Dr Mahathir Mohamad semasa wawancara bersama MalaysiaNow di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Dr Mahathir Mohamad mengatakan Umno bukan lagi parti yang kuat di bawah pimpinan Ahmad Zahid Hamidi, menambahkan lagi tekanan kepada presiden parti Melayu itu selepas jawatan ketua menteri Sabah diberikan kepada Bersatu.

Mahathir yang juga bekas presiden Umno berkata, di bawah Zahid, parti Melayu itu kini berpecah kepada beberapa kumpulan.

“Sekarang Umno ni berpecah. Ada faction itu faction ini, dalam Umno. Satu faction kata macam ini, ada satu faction kata macam lain. Jadi kalau you nak jadi pemimpin Umno, faction mana?” kata bekas perdana menteri itu dalam satu wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow hari ini.

“Zahid satu faction, Hishammuddin Hussein satu faction, Mohamad Hassan satu faction. Orang ini kata macam ini, orang itu kata macam ini. You nak jadi presiden Umno apa? ”

Semalam, Pegerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri walaupun Zahid dan beberapa pemimpin Umno dari semenanjung mendesak agar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin dilantik.

Kegagalan Zahid meletakkan Bung Moktar sebagai ketua menteri Sabah memperlihatkan presiden Umno itu sudah tidak lagi mempunyai pengaruh dalam parti.

Minggu lalu, Zahid berkata beliau tidak dapat menghalang ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mahu menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Itu dia kata sekarang, dulu masa nak jatuhkan Pakatan Harapan ini, dia beritahu kepada saya Umno akan sertai gabungan baru ini secara ‘en-bloc’ sebagai Umno. Saya tak terima.

“Saya boleh terima kalau orang Umno keluar Umno, kemudian join saya, beri majoriti kepada saya. Parti ini sudah cacat. Jadi buruk. Pemimpin-pemimpin (Umno) semuanya terlibat dengan rasuah,” kata Mahathir apabila diminta mengulas tentang sokongan Zahid kepada Anwar.

Pada sidang medianya minggu lalu, Anwar mendakwa sudah mempunyai “sokongan kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan Muhyiddin.

Bagaimanapun, apabila didesak media, presiden PKR itu tidak menyatakan jumlah sokongan terhadapnya, mengatakan hanya akan mempersembahkan kepada Agong.

Dalam kenyataan pada Isnin, Istana Negara mengatakan Agong dinasihatkan berada di Institut Jantung Negara (IJN) kerana keracunan makanan dan kecederaan sukan.

Kenyataan itu langsung tidak menyebut tentang panggilan mengadap Anwar yang mahu mempersembahkan sokongan “kukuh dan meyakinkan” diperolehinya.