- Iklan -
Berita

Peguam jelaskan langkah isytihar pengampunan Anwar tidak sah

Pengampunan sebelum ini diberikan terhadap hukuman, bukan sabitan, kata Haniff Khatri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Seorang peguam terkemuka memberi amaran Anwar Ibrahim bakal berdepan dengan pertempuran perundangan dan politik yang “menggerikan” selepas Mahkamah Tinggi baru-baru ini membenarkan kesahan pengampunan Diraja terhadap presiden PKR itu, dicabar.

Haniff Khatri Abdulla yang mewakili seorang pemimpin parti politik baru yang mencabar pegampunan Diraja pada 2018 yang membebaskan Anwar dari penjara berkata, perbicaraan ini boleh menyaksikan kes yang belum pernah terjadi dan tidak pernah dilihat di Malaysia.

“Setahu saya belum ada (pengampunan Diraja) yang ditarik balik,” kata Haniff kepada MalaysiaNow.

Haniff adalah peguam jenayah yang terlibat dengan kes berprofil tinggi dan pernah mewakili bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menjelaskan tindakan anak guamnya, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mencabar sama ada keputusan Lembaga Pengampunan memberikan pengampunan penuh terhadap sabitan liwat Anwar sah di sisi Perlembagaan.

“Dalam rekod malaysia, sejarah Malaysia, tidak pernah ada pengampunan yang diberikan kepada sabitan,” katanya.

“Kalau mahkamah bersetuju komposisi Lembaga Pengampunan atas apa alasan yang dibangkitkan itu tidak sah, keseluruhan pengampunan itu boleh dijadikan tidak sah,” kata Haniff.

Katanya, sekiranya pengampunan hanya diberikan terhadap hukuman penjara Anwar sekalipun, masih terdapat persoalan perundangan tentang kesahan kemenangan presiden PKR itu di Port Dickson pada Oktober 2018 kerana kurang daripada tempoh 5 tahun selepas selesainya hukuman diampunkan.

Haniff berkata, Anwar masih boleh mengelakkan daripada disingkirkan sebagai ahli Parlimen kerana sebarang cabaran terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil itu harus dilakukan dalam tempoh tiga bulan selepas tarikh mengundi.

“Apa-apa keputusan mahkamah sama ada dikatakan keseluruhan pengampunan itu sah atau tidak sah, ataupun sebahagiannya, pembatalan sabitan itu tidak sah, maka ianya akan menjadikan kelayakan Anwar Ibrahim sebagai seorang wakil rakyat mempunyai kecacatan kesahihan yang bidang kuasa kemudian terletak pada speaker Dewan Rakyat,” katanya.

Beberapa hari sebelum pilihan raya kecil Port Dickson, peguam negara pada ketika itu Tommy Thomas berkata Anwar layak untuk bertanding kerana diberikan “pengampunan penuh” oleh Agong.

“Oleh itu, menurut Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan, Anwar tidak dibatalkan daripada menjadi calon bagi pilihan raya kecil yang akan datang untuk kawasan pilihan raya Port Dickson,” menurut surat Thomas kepada peguam Siti Kassim pada September 2018.

Sementara Haniff berkata, beliau tidak fikir Anwar akan kembali ke penjara sekiranya pengampunannya dibatalkan.

“Jadi, persoalan ini akan dijawab bergantung kepada ‘approach’ ataupun bahagian mana cabaran tersebut diputuskan mahkamah,” katanya.

Saman Khairul ditetapkan untuk didengar mahkamah pada Mac tahun depan.

Sementara itu pembelaan Anwar sudah memfailkan rayuan kepada mahkamah untuk membatalkan saman itu.

*Nur Hasliza Mohd Salleh turut menyumbang dalam laporan ini.