- Iklan -
Berita

BN hormati autonomi Sabah putuskan Hajiji ketua menteri

Bung Moktar perjelaskan keputusan itu dibuat, demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Umno president Ahmad Zahid Hamidi, whose leadership of the party has come under scrutiny. Photo: Bernama
Umno president Ahmad Zahid Hamidi, whose leadership of the party has come under scrutiny. Photo: Bernama

Barisan Nasional (BN) menghormati autonomi Umno Sabah, yang dipersetujui bersama dengan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), untuk mencalonkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Hajiji Noor, sebagai ketua menteri Sabah ke-16.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau dimaklumkan oleh Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin keputusan itu dibuat, demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan.

“Saya dimaklumkan oleh Bung Moktar Radin, selepas rundingan dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gabungan Rakyat Sabah yang menang (Pilihan Raya Negeri Sabah), akhirnya bersepakat mencalonkan Hajiji Noor.

“Saya hormati keputusan tersebut atas dasar semangat autonomi Umno Sabah, yang sudah pun dipersetujui bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahid berharap semoga kerajaan negeri Sabah yang baru itu, dapat segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda bagi membela kepentingan rakyat negeri berkenaan, sebagaimana termaktub dalam aku janji GRS.

Sebelum ini, Zahid bertegas bahawa jawatan ketua menteri Sabah seharusnya diserahkan kepada Umno, sebagai parti individu yang memenangi jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar dalam GRS.

GRS adalah gabungan parti PN, BN dan PBS.

PN merangkumi Bersatu, Star dan SAPP.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu lepas, Umno/BN memenangi 14 kerusi, Bersatu (11), Star (enam) dan PBS (tujuh).