- Iklan -
Berita

GRS umum KM Sabah baru beberapa jam lagi

Beliau membayangkan pengumuman itu akan dibuat pada sebelah pagi, sebelum calon berkenaan mengangkat sumpah di Istana Negeri di Kota Kinabalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor (duduk, tengah) bersama Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin (duduk, kiri) pada sidang media selepas keputusan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah di Kota Kinabalu. Gambar: Bernama
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor (duduk, tengah) bersama Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin (duduk, kiri) pada sidang media selepas keputusan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah di Kota Kinabalu. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Sabah yang baru akan diumumkan beberapa jam lagi, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Hajiji Noor.

Tanpa memberikan waktu spesifik, beliau membayangkan pengumuman itu akan dibuat pada sebelah pagi, sebelum calon berkenaan mengangkat sumpah di Istana Negeri di Kota Kinabalu.

Ditanya sama ada ketua menteri akan dipilih daripada barisan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PN atau Barisan Nasional (BN) beliau berkata : “Biarlah ia menjadi teka teki.”

Hajiji berkata demikian dalam sidang media kira-kira dua jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri DUN Sabah yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada PN, BN dan PBS berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah sebanyak 38 kerusi.

Terdahulu, beliau bersama pimpinan GRS termasuk Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dan SAPP Yong Teck Lee mengadakan mesyuarat secara tertutup.

Mesyuarat sama turut diadakan secara berasingan oleh pimpinan BN.

Hajiji, yang mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon Ketua Menteri selain Pengerusi BN Bung Mokhtar Radin.

Ditanya sama ada keputusan memilih ketua menteri yang akan diumumkan itu dibincang oleh keseluruhan pimpinan GRS, beliau hanya berkata: “Kita masih tunggu kerana banyak wakil rakyat kita dari jauh, dari pedalaman. Kita tunggu dan akan buat satu pengumuman bersama mereka,” katanya.