- Iklan -
Berita

Dr Mahathir tak berhasrat tanding PRU15

Dr Mahathir pada ketika ini tidak sesuai untuk diadakan PRU kerana pandemik Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada wartawan ketika ditemu bual di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, hari ini. Gambar: Bernama
Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada wartawan ketika ditemu bual di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, hari ini. Gambar: Bernama

Dr Mahathir Mohamad tidak berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang sekiranya dilaksanakan mengikut tempoh penggal semasa memandangkan usianya sudah mencecah 98 tahun ketika itu.

Namun bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu bersedia menawarkan nasihat serta berkongsi pengalaman dengan parti yang baru ditubuhkannya, Pejuang jika perlu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui wakil media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, di Langkawi hari ini.

Ditanya jika ada keperluan Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU pada ketika ini, ahli Parlimen Langkawi itu berkata penularan pandemik Covid-19 menyukarkan perkara tersebut.

“Dalam keadaan biasa boleh (dibubarkan) kerana PRU beri balik kuasa kepada rakyat tentukan siapa jadi kerajaan. Tetapi waktu ini negara hadapi masalah Covid-19, masalah ini menyebabkan kos untuk mengadakan PRU tinggi dan mendedahkan rakyat kepada penularan penyakit itu.

“Saya yakin kalau PRU diadakan seperti biasa, ramai rakyat akan terkena Covid-19, ramai akan maut, meninggal dunia. Soalnya sama ada kita lebih utamakan politik atau nyawa rakyat?,” katanya.

Isu PRU kembali dibangkitkan sesetengah pihak selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada Rabu lepas mendakwa menerima sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru.

Untuk rekod, penggal Parlimen ke-14 akan tamat pada 16 Sept 2023.