- Iklan -
Berita

Tiada kerjasama dengan DAP dan Anwar, kata pemimpin Umno ketika PAS beri amaran

Anwar dicabar dedahkan senarai nama 10 ahli Parlimen, sokongan Umno jelas secara en-bloc.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
PAS and Umno leaders raise their arms in a show of solidarity at the signing of the Muafakat Nasional pact on Sept 14 last year.
PAS and Umno leaders raise their arms in a show of solidarity at the signing of the Muafakat Nasional pact on Sept 14 last year.

Sokongan Umno kepada mana-mana gabungan hanya akan berlaku secara en-bloc, kata pemimpin parti menyanggah kenyataan Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang berkata ahli-ahli Parlimen parti itu bebas menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan ini dikeluarkan selepas sekutu rapat Umno yang menubuhkan Muafakat Nasional (MN) PAS, mengingatkan parti itu persepakatan mereka adalah untuk perpaduan Melayu dan menolak sebarang kerjasama dengan DAP dan Amanah.

Kebanyakan dalam ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bercakap kepada MalaysiaNow berkongsi pandangan sama.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum ini juga secara jelas menyatakan tidak akan bersama-sama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP dan juga Anwar.

Menteri pertahanan itu berkata, Zahid juga mengeluarkan arahan sebelum ini untuk memecat sesiapa yang tidak patuh kepada peraturan tersebut.

“Jadi, saya amat yakin tiada ahli Parlimen Umno yang terlibat ataupun menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Sekejap dia cakap ada 10 nama, lepas itu naik 15 nama… lepas ini saya rasa naik 50 nama, lebih daripada bilangan ahli Parlimen Umno yang ada,” kata ahli Parlimen Bera itu di Sabah semalam.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Mohamad pula menyifatkan apa yang dilakukan Anwar adalah sandiwara semata-mata.

“Jika betul dia dakwa ada senarai 10 orang Umno sokong dia buktikan, tunjukkan, dedahkan senarai nama mereka yang sokong,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau yang juga timbalan menteri pembangunan luar bandar berkata, Anwar sengaja mengalih isu agar rakyat Sabah tidak mengundi BN atau PN pada PRN Sabah esok.

“Nampak sangat, ini tak lain tak bukan nak ‘swing’ sentimen pengundi di Sabah. Apa yang saya boleh katakan ia tidak akan berlaku kerana semua pengundi di Sabah sudah muak dan jelik dengan perangai Anwar,” katanya.

Bagaimanapun menurut Abdul Rahman, “propaganda” Anwar tidak akan memberi kesan kepada Gabungan Rakyat Sabah dalam PRN kali ini.

Anwar pada Rabu mengatakan sudah mempunyai “sokongan yang kuat dan meyakinkan” untuk menumbangkan PN.

Sejurus selepas itu Zahid yang juga presiden Umno berkata, ahli-ahli Parlimen Umno dan BN bebas menyokong Anwar untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Muhyiddin mengatakan beliau masih perdana menteri selagi Anwar tidak membuktikan sokongan diperolehinya.

Semalam MalaysiaNow melaporkan Umno berpecah kepada dua kumpulan iaitu yang menyokong dan menentang kerjasama dengan Anwar.

Kumpulan yang menyokong bersama Zahid manakala yang menentang berada di belakang Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Sementara seorang lagi ahli MKT Umno, Aziz Kaprawi mengatakan kenyataan Zahid menyokong Anwar itu hanyalah sebagai amaran kepada Bersatu dan Muhyiddin.

Katanya, Bersatu perlu berlaku jujur dan amanah di dalam sebarang perbincangan dan ketetapan keputusan yang melibatkan kepentingan semua parti sekutu.

“PRN Sabah merupakan satu contoh mudah di mana berlakunya beberapa siri tindakan Bersatu yang seolah-olah tidak mencerminkan kemuafakatan yang ada di antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

“Bermula dengan pertindihan kerusi antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional sehinggalah kepada adanya calon bebas ‘mesra PN’ dan pengumuman Hajiji Nor sebagai calon ketua menteri Sabah cukup untuk membawa mesej bahawa Bersatu tidak menghormati semangat tersebut malah bertindak sebagai ’pembuli’,” katanya kepada MalaysiaNow.