- Iklan -
Berita

Najib dapat lanjutan 30 hari fail petisyen rayuan kes SRC

Najib mengemukakan rayuan berhubung sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai lepas.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Former prime minister Najib Razak. Photo: Bernama
Former prime minister Najib Razak. Photo: Bernama

Najib Razak memperoleh lanjutan masa 30 hari untuk memfailkan petisyen rayuannya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Has Zanah Mehat, Lee Swee Seng dan Nordin Hassan membenarkan permohonan Najib untuk masa itu dilanjutkan bagi membolehkan beliau memfailkan petisyen rayuan itu selepas pihak pendakwaan tidak membantahnya.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib memohon lanjutan masa bermula 18 Sept hingga 18 Okt untuk memfailkan petisyen rayuan itu.

Beliau memberitahu mahkamah alasan untuk memohon masa dilanjutkan adalah kerana rekod rayuan itu terdiri daripada 112 jilid dan alasan penghakiman Mahkamah Tinggi adalah 801 muka surat.

Demi kepentingan keadilan substantif, kami memerlukan masa untuk menyediakan petisyen itu dengan secukupnya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu mahkamah pendakwaan tidak membantah berhubung permohonan itu.

Menurut prosedur mahkamah, pihak pembelaan mempunyai tempoh selama 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan selepas menerima rekod rayuan. Tarikh akhir memfailkan petisyen rayuan dalam kes itu ialah pada Isnin (28 Sept).

Najib mengemukakan rayuan berhubung sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai lepas.

Bekas perdana menteri berusia 67 tahun itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan wang RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd.

Najib yang juga ahli Parlimen Pekan, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan penyalahgunaan kuasa dan penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan pecah amanah jenayah (tiga pertuduhan).

Beliau turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan melakukan pengubahan wang haram (tiga pertuduhan). Mahkamah Tinggi mengarahkan kesemua hukuman berjalan serentak.

Beliau kini bebas selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, pendakwaan turut memfailkan rayuan pada 11 Ogos lepas berhubung hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi ke atas Najib. Bagaimanapun difahamkan pihak pendakwaan masih belum memfailkan petisyen rayuan.

Rayuan Najib ditetapkan untuk pengurusan kes pada 2 Okt.

Bekas perdana menteri itu dikecualikan daripada menghadiri prosiding mahkamah hari ini.