- Iklan -
Berita

Muafakat Nasional ‘mungkin berkubur’ selepas Zahid sokong Anwar

Penganalisis percaya PAS tidak teragak-agak meninggalkan Muafakat Nasional selepas presiden Umno umum sokong Anwar.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (Kanan) mengatakan 18 ahli Parlimen parti itu teguh menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (Kanan) mengatakan 18 ahli Parlimen parti itu teguh menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Setahun selepas Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan untuk memperkukuhkan kuasa politik Melayu ‘mungkin berkubur’ disebabkan sokongan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada Anwar Ibrahim untuk menggulingkan Perikatan Nasional (PN), kata pemerhati.

Keretakan hubungan itu boleh dilihat apabila PAS hari ini menggesa Umno untuk memberikan penjelasan terhadap kenyataan Zahid yang dilihat bercanggah dengan Piagam MN yang secara jelas menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah.

Penganalisis politik Jeniri Amir yang dahulunya berkhidmat dengan Universiti Malaysia Sarawak (UniMas) berkata, rasa sangsi dan keraguan sudah wujud dalam kalangan pemimpin PAS terhadap kewibawaan Zahid yang diketahui pernah menjadi “orang Anwar” ketika presiden PKR itu masih dalam Umno pada 1990 an.

Katanya, spekulasi mengenai sokongan ahli Parlimen Umno fraksi Zahid kepada Anwar menambahkan lagi risiko menjadikan situasi MN berada dalam keadaan parah.

“Bukan mustahil kalau Umno tak beri penjelasan yang menyakinkan, kerana PAS akan bertindak balas,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Maksudnya, ini merupakan bibit-bibit krisis dan seterusnya konflik dan kejatuhan Muafakat Nasional.”

Zahid merupakan sekutu rapat Anwar semasa presiden PKR itu masih bersama Umno pada penghujung 1990 an. Pada ketika itu, Anwar adalah timbalan presiden Umno dan Zahid adalah ketua Pemuda parti itu.

MN ditubuhkan 14 September tahun lalu selepas Umno dan PAS setuju untuk bekerjasama bagi memperkukuhkan kuasa politik orang Melayu yang dikatakan semakin terhakis selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan pada 2018.

Kerajaan PH tumbang pada hujung Februari selepas hilang sokongan majoriti apabila Bersatu dan sejumlah ahli Parlimen PKR meninggalkan gabungan itu.

Anwar pada Rabu mengumumkan kerajaan PN tumbang selepas beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan untuk menjadi perdana menteri.

Anwar pada Rabu membuat pengumuman mengatakan beliau mempunyai majoriti yang “kukuh dan menyakinkan” untuk membentuk kerajaan. Pengerusi PH itu sekaligus menegaskan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah tumbang dan tidak sah.

Sejurus selepas itu Zahid yang juga presiden Umno berkata, ahli-ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) bebas menyokong Anwar untuk menjatuhkan Muhyiddin

Bagaimanapun Muhyiddin mengatakan beliau masih perdana menteri selagi Anwar tidak membuktikan sokongan diperolehinya.

Di sebalik keraguan PAS, beberapa Ahli Majlis Tertinggi Umno sudah tampil menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan Anwar hanya bersandirwara.

Jeniri menambah tuntutan PAS bukan sekadar mahukan penjelasan biasa tetapi penjelasan yang amat mendalam dan bersungguh-sungguh daripada Zahid.

Atas sebab itu, beliau berkata tindakan PAS untuk menuntut penjelasan adalah wajar kerana kenyataan Zahid bertentangan dengan Piagam MN.

“Sekarang, tanggungjawab untuk memberi penjelasan itu berada di bahu presiden Umno.”

Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, tidak mustahil PAS akan meninggalkan MN sekiranya Umno gagal memberikan penjelasan terhadap kenyataan Zahid.

“Dan Umno perlu jawab kepada PAS akan situasi terkini,” katanya kepada MalaysiaNow.