- Iklan -
Berita

MB Terengganu jalani kuarantin wajib Covid-19

MB Terengganu mempunyai kontak dengan dua individu yang positif Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan dari Mercy membuat jahitan Pakaian Perlindungan Peribadi (PPE) bagi membantu barisan hadapan Covid-19.
Sukarelawan dari Mercy membuat jahitan Pakaian Perlindungan Peribadi (PPE) bagi membantu barisan hadapan Covid-19.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari kerana mempunyai kontak dengan dua individu yang positif Covid-19.

Setiausaha Politiknya Muhyidin Abdul Rashid berkata kuarantin wajib itu adalah seperti yang diarahkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang turut berusaha mengenal pasti, menghubungi dan menjalankan ujian Covid-19 terhadap semua yang berkait dengan kontak berkenaan.

“Untuk makluman, YAB menteri besar juga sudah menjalani ujian Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) Covid-19 dan disahkan negatif, namun perlu menjalani satu lagi ujian pada hari ke-13 nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya semua program dan aktiviti melibatkan Ahmad Samsuri terpaksa ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin wajib itu.

“Walaupun begitu, YAB menteri besar akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 30 September ini secara video dalam talian,” katanya.