- Iklan -
Berita

71 kes baru Covid-19, majoriti di Sabah

Jumlah kes baru Covid-19 hari ini turun kepada dua angka iaitu 71 kes yang merangkumi 69 jangkitan tempatan dan dua kes import membabitkan warga asing yang pulang dari Singapura dan Indonesia. Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes penularan tempatan melibatkan 43 rakyat Malaysia dan 26 bukan warganegara dengan Sabah masih lagi menyumbang […]

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
KP Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah Gambar: Bernama
KP Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah Gambar: Bernama

Jumlah kes baru Covid-19 hari ini turun kepada dua angka iaitu 71 kes yang merangkumi 69 jangkitan tempatan dan dua kes import membabitkan warga asing yang pulang dari Singapura dan Indonesia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes penularan tempatan melibatkan 43 rakyat Malaysia dan 26 bukan warganegara dengan Sabah masih lagi menyumbang kepada majoriti kes iaitu sebanyak 63.

“Daripada 63 kes yang berlaku di Sabah, 47 kes daripada kluster Bangau-Bangau, 10 kes daripada kluster Laut, dua kes daripada saringan kemasukan ke hospital dan masing-masing satu kes daripada Kluster Benteng LD, saringan rujukan ke Hospital Tawau, saringan praprosedur di Hospital Semporna dan saringan bergejala di pusat perubatan yang kini telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Manakala enam lagi kes penularan tempatan melibatkan empat kes di Kedah daripada kluster Sungai dan dua kes di Selangor membabitkan saringan bergejala individu yang mempunyai sejarah pulang dari Semporna, Sabah,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata 64 kes pulih hari ini, manakala enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan hari ini.

Mengenai status terkini tiga kluster di Sabah, Dr Noor Hisham berkata kluster Bangau-Bangau meningkat kepada 60 kes susulan pertambahan 47 kes baru hari ini, diikuti kluster Laut yang bertambah 10 kes kepada 22 kes dan kluster Benteng LD naik satu kes kepada 730 kes.

Bagi kluster Sungai, terdapat empat kes baru dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini meningkat kepada 91 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata nilai Rt atau R naught (Ro) iaitu kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat meningkat kembali semalam, kepada 1.34 iaitu melebihi 1.0 dengan Sabah mencatat 1.37 manakala di Kedah adalah 1.15.

Oleh itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu kepada semua agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tanpa mengira status dan kedudukan dalam masyarakat bagi membantu negara mengawal penularan Covid-19.

“Walaupun kebanyakan kawasan di negara kini sudah bertukar menjadi zon hijau, namun KKM ingin mengingatkan bahawa kes Covid-19 masih berada di dalam komuniti kita.

“KKM ingin menasihatkan, individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan Covid-19 di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

Sementara individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekitarnya.