- Iklan -
Berita

‘Tunggu dan lihat’, kata Dr Mahathir selepas Anwar dakwa PN tumbang

Dr Mahathir berkata, ini bukan kali pertama Anwar membuat pengumuman seumpama ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ini bukanlah kali pertama Anwar mengeluarkan kenyataan seperti ini, kata Dr Mahathir.
Ini bukanlah kali pertama Anwar mengeluarkan kenyataan seperti ini, kata Dr Mahathir.

Dakwaan Presiden PKR Anwar Ibrahim beliau mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan bukanlah kali pertama dilakukannya, kata bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Kita kena tunggu dan lihat jika ini adalah satu lagi episod dakwaan yang tidak dapat dibuktikan,” Dr Mahathir dipetik berkata The Edge Singapore mengulas pengumuman Anwar hari ini.

Pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Anwar mengumumkan beliau mendapat sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baru menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Kali pertama pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu membuat dakwaan sedemikian ialah pada tahun 2008, tidak berapa lama selepas Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum pada tahun sama.

Pada ketika itu, Abdullah Badawi adalah perdana menteri dan presiden Umno. Abdullah kemudiannya pada tahun 2009 meletakkan jawatan sebagai perdana menteri untuk memberi laluan kepada Najib Razak untuk mengambil alih.

Anwar hari ini mendakwa beliau mendapat sokongan kukuh daripada majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan apabila diasak oleh pemberita.

Katanya, butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, yang kini menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Daripada 222 kerusi di Parlimen, 109 diwakili pembangkang. Selebihnya adalah ahli-ahli Parlimen menyokong PN.

Pada sidang media tengah hari tadi, Anwar berkata buat masa ini Dr Mahathir dan partinya Pejuang belum menunjukkan sebarang sokongan kepadanya.