Wednesday, June 23, 2021

Pendedahan FinCEN jejas kredibiliti Singapura sebagai hab kewangan

Pendedahan FinCEN menjejaskan kredibiliti Singapura di mata dunia.

Other News

Seringkali digambarkan sebagai hab kewangan telus dan berakauntabiliti, Singapura berada di kedudukan tinggi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International, lebih dikenali sebagai TI-CPI, menjadikannya satu-satunya negara Asia yang berada di tangga 10 teratas.

Pada 2019, TI-CPI meletakkan Singapura di tangga keempat daripada 180 negara dengan markah 85.

Akan tetapi pendedahan republik itu terlibat sebagai “hab” kepada beberapa bank antarabangsa yang didakwa melanggar perundangan antarabangsa dan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram menggemparkan kerana Singapura mempunyai undang-undang yang ketat dan mencapai standard ditetapkan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan.

Ini berdasarkan penemuan Konsortium Wartawan Penyiasat Antarabangsa (ICIJ), termasuk dokumen laporan aktiviti mencurigakan, atau SAR daripada Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan Amerika Syarikat (FinCEN).

Laporan SAR bukanlah bermakna ia merupakan satu bukti jenayah akan tetapi serupa dengan laporan transaksi mencurigakan.

Pendedahan fail FinCEN alah projek kerjasama antara ICIJ, BuzzFeed News dan lebih 400 wartawan seluruh dunia.

Laporan ini berdasarkan rekod Perbendaharaan AS.

Siasatan itu mendedahkan terdapat 2,100 dokumen tersebut mengandungi maklumat transaksi bernilai lebih AS$2 trilion (RM8.2 trilion) antara 1999 dan 2017 yang diklasifikasikan sebagai meragukan.

Antara bank yang banyak disebut dalam laporan aktivi­ti mencurigakan itu adalah HSBC, JPMorgan, Deutsche Bank, Standard Chartered dan Bank of New York Mellon.

Sekurang-kurangnya sembilan bank di Malaysia dikaitkan dengan aktiviti kewangan mencurigakan melibatkan 23 transaksi lebih kurang AS$18 juta.

Dokumen dibocorkan itu mendedahkan maklumat terperinci mengenai jenayah dan rasuah melibatkan ahli politik, diktator, penjenayah dan pemodal, termasuk juga peranan dimainkan pegawai bank, akauntan dan peguam.

Akan tetapi dari segi perspektif ketelusan kewangan, ia mendedahkan kegagalan bank dan institusi kewangan mengekang pengubahan wang haram.

Disebabkan itu, Singapura tidak sepatutnya mempunyai kaitan dengan aktiviti seperti itu.

Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD) Singapura menyiarkan jumlah transaksi meragukan yang mereka terima dalam laporan tahunan.

Menurut CAD, bank paling banyak melaporkan laporan transaksi meragukan – 16,314 pada 2018, diikuti dengan 4,823 laporan daripada agen pengurup wang.

Menurut fail dibocorkan, beberapa bank di Singapura mengawasi lebih kurang AS4.5 bilion (S$6.13 bilion) transaksi meragukan antara 2000 dan 2017 dengan DBS Bank, CIMB Bank dan Deutsche Bank antara yang terbesar.

DBS Bank disenaraikan menghantar AS596.8 juta dan menerima AS228.3 juta dalam 461 transaksi meragukan antara 2000 dan 2017.

Sementara CIMB Bank menghantar AS$250.4 juta dan menerima AS$34.3 juta dalam 294 transaksi meragukan manakala Deutsche Bank menghantar AS$224.3 juta dan menerima AS$62 juta dalam 19 transaksi meragukan.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengatakan akan meneliti laporan mengenai bank Singapura sudah memaklumkan kepada pengawal selia AS berhubung transaksi meragukan.

Beberapa penganalisis berpengkalan di Singapura enggan mengulas apabila dihubungi MalaysiaNow.

“Kamu tahu, pemerintah Singapura sangat sensitif terhadap kritikan, saya tak mahu komen,” kata salah seorang yang dihubungi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles