- Iklan -
Berita

Majlis Anwar mengadap tangguh, Agong nasihat utamakan kesejahteraan rakyat

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Daim Zainuddin dan jemaah menteri Kabinet yang mendoakan kesejahteraan Seri Paduka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Pendang, Anis Atikah Ismail, 22, (tengah) ditemani rakannya, Ayu Wahida Abdul Hadis, 27, (kanan) dan Farhana Mohd Nor, 24, (kiri) berswafoto di hadapan mural Majlis Daerah Pendang (MDP) bagi menghargai barisan frontliner yang bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19 di negara ini di pekan Pendang.Antara potret dipaparkan ialah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta barisan anggota keselamatan yang terlibat. Gambar: Bernama

Istana Negara hari ini memaklumkan majlis menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dijadualkan semalam (22 Sept) ditangguhkan, berikutan Seri Paduka gering.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata ketika ini, Al-Sultan Abdullah akan terus menjalani rawatan di bawah pengawasan pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau berkata Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Daim Zainuddin dan jemaah menteri Kabinet serta individu-individu termasuk Anwar yang mendoakan kesejahteraan Seri Paduka.

“Seri Paduka turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama, semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah SWT,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka berdoa semoga Malaysia terus dilindungi daripada segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran berpanjangan.

Terdahulu, Anwar pada satu sidang media hari ini mendakwa beliau mendapat sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baru menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Beliau berkata mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di IJN.