- Iklan -
Berita

Kes saman cukai pendapatan RM57.17 juta LHDN terhadap Ku Nan selesai

Bagaimanapun peguam tidak mendedahkan terma-terma penyelesaian termasuk jumlah yang perlu dibayar ahli Parlimen Putrajaya itu kepada LHDN.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor. Gambar: Bernama
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor. Gambar: Bernama

Kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung cukai pendapatan berjumlah RM57.17 juta yang tidak dibayar bekas menteri Wilayah Persekutuan itu sejak 2012 sehingga 2017 diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Peguam S. Saravana Kumar, yang mewakili Tengku Adnan, bagaimanapun tidak mendedahkan terma-terma penyelesaian termasuk jumlah yang perlu dibayar ahli Parlimen Putrajaya itu kepada LHDN.

“Kedua-dua pihak menyelesaikan perkara itu secara baik,” katanya kepada pemberita selepas prosiding penyelesaian dalam kamar di hadapan Hakim Azimah Omar.

Prosiding itu turut dihadiri Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad dan Al-Hummidallah Idrus serta Timbalan Penguam Cara Hasil Hazlina Hussain bagi pihak LHDN.

Saravana Kumar juga berkata mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan bagi penyelesaian itu.

Pada 2 Sept lepas, kedua-dua pihak memaklumkan Azimah mereka dalam proses menyelesaikan kes saman itu.

Azimah memberikan tempoh selama dua minggu kepada kedua-dua pihak membincangkan penyelesaian itu dan berkata jika tidak ada penyelesaian pada 23 Sept (hari ini), mahkamah akan meneruskan pendengaran permohonan bagi penghakiman terus LHDN serta permohonan Tengku Adnan untuk menggantung prosiding.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Dengan penyelesaian itu, kedua-dua permohonan tidak akan didengar oleh mahkamah.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24 Julai tahun lepas setelah mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN, dalam tuntutannya, mendakwa sehingga kini ahli Parlimen Putrajaya itu masih gagal membayar amaun cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.