- Iklan -
Berita

DAP, Amanah ikrar sokong Anwar bentuk kerajaan baru

Sehingga kini, Anwar Ibrahim masih belum menyatakan jumlah 'sokongan' yang dimilikinya untuk membentuk kerajaan baru.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim pada sidang media di Kuala Lumpur ketika mengumumkan mempunyai sokongan "kukuh dan meyakinkan". Turut bersama ialah isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Presiden PKR Anwar Ibrahim pada sidang media di Kuala Lumpur ketika mengumumkan mempunyai sokongan "kukuh dan meyakinkan". Turut bersama ialah isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

DAP dan Amanah berikrar akan memberikan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan sekiranya ahli Parlimen Port Dickson itu mempunyai cukup sokongan daripada majoriti ahli Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam kenyataan berasingan mengatakan kesemua ahli Parlimen parti mereka akan menyokong penuh Anwar sebagai perdana menteri baru.

“Selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), 42 Ahli Parlimen DAP akan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau cukup bilang untuk membentuk Kerajaan,” kata Lim dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum itu, Mohamad yang juga ahli Parlimen Kota Raja menyatakan ikrar sokongan terhadap Anwar.

“Parti Amanah mengesahkan bahawa semua 11 orang Ahli Parlimen Parti Amanah Negara menyokong sepenuhnya kepimpinan Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan memberikan kepercayaan kepada beliau untuk membentuk kerajaan baru,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama Anwar membuat dakwaan sedemikian, pada 2008, presiden PKR itu pernah mengumumkan mempunyai cukup sokongan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Abdullah Badawi.

Pada satu sidang media tengah hari tadi, pengerusi PH itu mengumumkan mempunyai “sokongan kukuh” untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu berapa jumlah “sokongan kukuh” daripada ahli-ahli Parlimen yang dimaksudkan.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, PH mempunyai 91 ahli Parlimen, Warisan (9), PBS (2) dan PSB (1). Tujuh lagi ahli Parlimen daripada kumpulan penyokong Dr Mahathir Mohamad dan seorang wakil rakyat bebas.

BN pula mempunyai 43 kerusi, Bersatu (31), PAS (18), GPS (18) dan Star (1).