- Iklan -
Berita

Peguam Najib mohon lanjut masa untuk fail rayuan

Tarikh akhir memfailkan petisyen rayuan dalam kes itu ialah Isnin depan (28 Sept).

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Former prime minister Najib Razak.
Former prime minister Najib Razak.

Pembelaan Najib Razak dalam kes membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan lanjutan masa bagi membolehkan mereka memfailkan petisyen rayuan.

Peguam Nur Syahirah Hanapiah berkata beliau sudah memaklumkan mahkamah mengenai permohonan itu semasa pengurusan kes tersebut hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam dan N Kanageswari.

“Mahkamah mengarahkan kami menulis surat untuk meminta pelanjutan masa itu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Menurut prosedur mahkamah, pembelaan mempunyai tempoh selama 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan selepas menerima rekod rayuan. Tarikh akhir memfailkan petisyen rayuan dalam kes itu ialah Isnin depan (28 Sept).

Nur Syahirah berkata pembelaan menerima rekod rayuan pada 17 Sept lepas.

Beliau berkata pembelaan memerlukan masa untuk menyiapkan petisyen rayuan memandangkan alasan penghakiman Mahkamah Tinggi adalah setebal 801 muka surat dan terdapat 112 jilid rekod rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, yang mewakili pendakwaan semasa pengurusan kes itu, ketika dihubungi berkata beliau tidak membantah permohonan untuk pelanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Nur Syahirah dan Mohd Ashrof berkata pengurusan kes itu pada mulanya ditetapkan pada 15 Okt namun mahkamah menulis kepada kedua-dua pihak yang terlibat dalam rayuan tersebut memaklumkan prosiding berkenaan dibawa ke hadapan iaitu hari ini.

Najib mengemukakan rayuan berhubung sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai lepas.

Bekas perdana menteri berusia 67 tahun itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan wang sebanyak RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan penyalahgunaan kuasa dan penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan pecah amanah jenayah (tiga pertuduhan).

Beliau turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan melakukan pengubahan wang haram (tiga pertuduhan).

Mahkamah Tinggi mengarahkan kesemua hukuman berjalan serentak dan ini bermakna Najib berdepan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Beliau kini bebas selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan turut memfailkan rayuan berhubung hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi ke atas Najib.