- Iklan -
Berita

Mangsa kebakaran 7 tahun lalu di Sabah merungut diabaikan Barisan, Warisan

Pemilik 433 rumah yang musnah dalam kebakaran 7 tahun lalu tagih simpati dan mahukan pembelaan.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Paneta Utukmani sedang gergaji kayu untuk bina semula rumah mereka yang terbakar selepas lebih 7 tahun terbiar di Kampung Sabang Baru Numbak, Kota Kinabalu. Gambar: MalaysiaNow
Paneta Utukmani sedang gergaji kayu untuk bina semula rumah mereka yang terbakar selepas lebih 7 tahun terbiar di Kampung Sabang Baru Numbak, Kota Kinabalu. Gambar: MalaysiaNow

Mangsa kebakaran besar yang menyaksikan hampir 500 buah rumah musnah pada 2013 di sebuah kampung di Sabah merungut diabaikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Warisan walaupun sudah tujuh tahun hidup dalam keadaan daif.

Pusiana Utukmani, 65, dari Kampung Sabong, Sepanggar di Kota Kinabalu berkata, mereka sekeluarga terpaksa mencari duit sendiri bagi membina semula tempat berteduh yang terbakar.

“Kamik susah bah (kami hidup susah), tiada pendapatan tetap, harus buat kerja-kerja kampung cari duit. Pergi masuk hutan cari kayu nipah bina semula rumah yang hancur sebab kebakaran,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada 2013, satu kebakaran besar berlaku di kampung itu menyebabkan 433 buah rumah musnah dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berdepan kesukaran untuk memadamkan api kerana kedudukan rumah yang rapat-rapat.

Kes kebakaran di Sabah terutamanya melibatkan kawasan perkampungan bukanlah sesuatu yang asing.

Berdasarkan laporan JPBM Zon 1 Sabah, sekurang-kurangnya 1,543 kes kebakaran yang berlaku di pusat bandar serta daerah sekitar iaitu Tuaran dan Penampang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Disebabkan itu, JPBM perlu membuat 236 pemeriksaan premis yang bertujuan menghapuskan bahaya kebakaran dengan keseluruhan 338 notis di bawah Penguatkuasaan Akta 341.

Penduduk Kampung Sabong memberitahu MalaysiaNow selepas kebakaran, mereka hanya diberi khemah untuk berteduh dan sehingga kini masih tiada bantuan disalurkan baik semasa Barisan Nasional (BN) masih memerintah mahupun selepas Warisan mengambil alih pada 2018.

Satria Sudi menyuarakan ketidakpuasan hatinya kerana sehingga kini hidup mereka masih lagi dihimpit kesusahan di Kampung Sabang Baru Numbak, Kota Kinabalu.

Satria Sudi, 43 yang lantang marahkan BN dan Warisan menuntut apa yang dijanjikan ditunaikan jika mahu terpilih pada Pilihan Raya Negeri 26 September ini.

“Apa yang mereka tahu isi perut sendiri sahaja. Janji-janji semua tidak ditunaikan. Kami terpaksa menumpang sana-sini. Saya marah sangat sebab kami semua ada keluarga jadi mana selesa mahu tinggal sama keluarga orang lain.

“Jika 6 bulan mau tunggu bantuan tidak apa tapi ini sudah 7 tahun masih tiada bantuan untuk baiki rumah. Mana janji-janji kamu semua mahu bantu kami?” soalnya.

Sementara di Kampung Gas di Sandakan pula, penduduk terpaksa tinggal dalam kontena selepas 90 rumah hangus terbakar sejak 2 tahun lalu dan terpaksa hidup dalam keadaan bahang panas dan sempit.

Dua kanak-kanak berjalan di kawasan penempatan mereka di Kampung Sabang Baru Numbak, Kota Kinabalu. Gambar: MalaysiaNow

Penduduk kampung kubu kuat BN itu berkata, kerajaan Warisan pimpinan Mohd Shafie Apdal perlu menyelesaikan masalah mereka tanpa mengira perbezaan politik.

“Saya bukan hendak kata BN bagus tidak juga, tapi kami sebelum ini percaya sama Warisan boleh bantu kami tapi apa pun tiada.

“Ini nampak sangat tiada siapa mahu bantu bela nasib kami,” kata Patimang Sudan.

Katanya, apa yang mereka harapkan bukanlah satu kehidupan yang mewah sebaliknya cukuplah sekadar selesa untuk mereka meneruskan kehidupan sekeluarga.