- Iklan -
Berita

17 pekerja Myanmar bunuh diri di Malaysia dalam masa 4 bulan

Tindakan tegas pihak berkuasa dan sekatan perjalanan menyebabkan pekerja Myanmar hilang pekerjaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
17 pekerja Myanmar dilaporkan membunuh diri di Malaysia sepanjang tempoh empat bulan ini.
17 pekerja Myanmar dilaporkan membunuh diri di Malaysia sepanjang tempoh empat bulan ini.

Sekurang-kurangnya 17 orang pekerja asing dari Myanmar membunuh diri dalam tempoh empat bulan, kata aktivis, menimbulkan kebimbangan mengenai kebajikan pekerja-pekerja tersebut susulan langkah mengekang penularan Covid-19 berterusan.

Berdasarkan laporan berita Myanmar, Eleven Media Group, salah seorang aktivis San Win mengatakan ramai pekerja kehilangan pekerjaan mereka ketika Malaysia bertindak tegas dan melakukan sekatan perjalanan.

“Mereka tidak lagi mampu menyewa rumah atau mendapatkan keperluan asas mereka.

“Itulah sebabnya mereka membunuh diri,” katanya.

Menurut laporan itu, terdapat lebih 300,000 pekerja haram dari Myanmar di negara ini.

Sementara itu, laporan berasingan Narinjaya News yang membawa berita anti-rejim di wilayah Arakan yang sedang berlaku pergolakan, menyebut salah seorang pekerja itu membunuh diri kurang dari seminggu yang lalu, pada 15 September.

Seorang rakan di kampung halamannya di bandar Man Aung di Rakhine berkata, Zaw Zaw, 44 dilaporkan menggantung diri.

“Tidak diketahui pada ketika ini mengapa dia mengambil nyawanya sendiri,” katanya sambil menambah anak lelaki Zaw Zaw juga pernah bekerja dengannya di Malaysia.

Laporan itu turut menyebut mengenai seorang pemuda yang berusia separuh daripada usia Zaw Zaw dikatakan membunuh diri sehari sebelumnya iaitu pada 14 September

Menurut laporan, pemuda berkenaan ialah Khin Maung Tun, 22, berasal dari kampung Thirimingalar di bandar Taungdwingyi, Magway.

Pada 26 Mei, kerajaan mengatakan akan mengusir semua pekerja tanpa dokumen yang didapati negatif jangkitan Covid-19 pulang ke negara asal mereka.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas antara menteri mengenai pengurusan pekerja asing.

Laporan Eleven Media Group juga mengatakan kedutaan Myanmar di Malaysia juga sudah mengumpulkan senarai kira-kira 3,000 pekerja tanpa dokumen yang ingin kembali ke negara mereka.