- Iklan -
Berita

Selepas 57 tahun sertai Malaysia, kampung atas air Sabah masih tak dapat air

Setiap 220 liter air penduduk perlu membayar RM7 dan setiap rumah perlukan lebih 1,000 liter.

Fazreen Kamal
4 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak dilihat membawa botol air kosong untuk mendapatkan bekalan air bersih di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya, di Kota Kinabalu.
Kanak-kanak dilihat membawa botol air kosong untuk mendapatkan bekalan air bersih di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya, di Kota Kinabalu.

Kampung Kesuapan di Pulau Gaya, Sabah yang pernah diiktiraf sebagai kampung paling bersih oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) masih dibelenggu masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Ketika meninjau keadaan di kampung berkenaan, MalaysiaNow terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak yang membawa botol-botol kosong.

“Kami mau pergi ambil air. Rumah tiada air bersih, mamak (ibu) yang suruh untuk masak dan buat minum,” kata salah seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Siska.

Inilah nasib penduduk kampung-kampung di Pulau Gaya yang terletak kira-kira 10 minit menaiki bot dari Kota Kinabalu dan sehingga kini projek bekalan air masih lagi di peringkat pembinaan pada ketika Malaysia baru sahaja menyambut ulangtahun ke 57 pada 16 September baru-baru ini.

Pada 2019 Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong mengumumkan projek pemasangan paip di setiap rumah bagi membolehkan bekalan air bersih dibekalkan di Pulau Gaya.

Bekalan air bersih di Pulau Gaya merupakan salah satu janji pilihan raya Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Projek perintis bernilai RM5.3 juta ini melibatkan dua buah kampung di pulau Gaya, Kampung Kesuapan dan Kampung Pulau Gaya, di mana 510 buah rumah akan dipasang dengan sistem tersebut.

Namun disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara, projek itu kini terbengkalai dan tidak dapat disiapkan dan secara tidak langsung menyebabkan penduduk kampung terpaksa membeli air menggunakan tong yang dijual oleh bot-bot air setiap hari.

Setiap tong boleh menampung sehingga 220 liter air dengan bayaran RM7.

Perkampungan atas air di Kampung Pondo, Pulau Gaya terletak di 1.5 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu dan mengambil masa 10 minit menggunakan bot laju.

Menurut salah seorang penduduk kampung, Asadin Umbok, 60, kehidupannya sebagai nelayan sedikit sebanyak menyukarkan kelangsungan hidup apabila terpaksa membelanjakan lebih RM500 sebulan semata-mata untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Saya mempunyai 11 orang anak, saya terpaksa beli 5 tong air selang 2 hari. Cuba bayangkan setiap kali beli air saya terpaksa bayar RM35 di darab dengan 15 hari jadi saya terpaksa bayar kira-kira RM525 untuk sebulan bah.

“Memang teruk juga saya belanja untuk hidup. Pendapatan saya sebagai nelayan pula tidak menentu. Mujur hari itu ada sikit bantuan daripada kerajaan semasa Covid-19,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini katanya, beliau terpaksa menunggu bekalan air dihantar oleh pembekal seawal pukul 5 pagi setiap hari, malah terpaksa berebut-rebut dengan penduduk kampung untuk mendapatkannya.

Pada 2018 beberapa bulan selepas mengambil alih negeri daripada Barisan Nasional (BN), Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah menetapkan lima sasaran sebagai “Key Performance Indicator (KPI)” bagi membangunkan sumber air terawat ke arah memulihkan masalah bekalan air di seluruh negeri menjelang tahun 2020.

Bercakap di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 13 November 2018, menterinya Peter Anthony berkata lima sasaran itu antara lain mengupayakan peranan Jabatan Air Negeri Sabah dengan memastikan kecekapan pengurusan dan penyampaian sistem bekalan air yang lebih baik.

Beliau berkata kementeriannya juga akan membangunkan sistem pembekalan air bersih dan terawat bagi memastikan bekalan air dapat menampung permintaan dan keperluan domestik dan industri.

Isu air bukanlah sesuatu yang asing bagi negeri di bawah bayu itu, pada 2016 negara digemparkan dengan skandal melibatkan Jabatan Air Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan rampasan terbesar dalam sejarah melibatkan wang, kereta mewah, geran tanah dan barangan lain bernilai hampir RM200 juta berhubung kes rasuah dan projek bernilai RM3.3 bilion.

Dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah turut ditahan untuk membantu siaatan SPRM dan kes ini masih menjalani proses perbicaraan di mahkamah.

Air lebih murah di zaman Warisan

Walaupun masih belum dapat menikmati bekalan air bersih seperti kebanyakan rakyat Malaysia di seluruh negara, terdapat juga penduduk kampung merasakan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sementara Mohd Shafie Apdal sudah melakukan yang terbaik.

Rajit Serong, 59, memberitahu MalaysiaNow usaha yang dilakukan kerajaan Warisan sebelum ini wajar dipuji kerana mereka tidak lagi akan terbeban dengan bayaran yang tinggi untuk bekalan air bersih.

Pekerja kontraktor sebuah syarikat yang mengendali sistem paip air bersih bermeter prabayar di Sabah dilihat melakukan kerja dalam stesen di sebuah kampung di Pulau Gaya, Kota Kinabalu.

Katanya, menerusi sistem “prabayar” yang dicadangkan Warisan akan menyaksikan bekalan air bersih terus disalurkan kepada setiap rumah dengan kadar RM100 sebulan.

“Prepaid 1,000 liter dengan kadar RM1.35 bagi setiap meter padu yang digunakan. Tetapi sehingga kini masih belum confirm betul ka itu kadarnya. Mana tau selepas ia diswastakan mungkin harganya  berubah menjadi lebih mahal,” katanya.

Bagi ketua Kampung Kesuapan, Amir Hashim Amal, 59 mereka seluruh penduduk kampung sangat bersyukur apabila kini bekalan air bersih bukan lagi isu utama dengan pemasangan paip bermeter.

Sebagai salah sebuah kampung kubu kuat Warisan, katanya penduduk kampung kini berpuas hati selepas memberi sokongan padu kepada parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

“Sekalipun kita menyelamatkan air seperti kita mandi dengan menggunakan air garam terlebih dahulu, kemudian bilas dengan air bersih, yang paling banyak kita boleh jimat ialah RM250 sebulan untuk sembilan orang,” kata beliau yang juga mengumpul air hujan untuk mencuci pakaian dan pinggan mangkuk.

Rakyat Sabah akan memilih kerajaan negeri baru pada 26 September ini selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 30 Julai lalu akibat ketidakstabilan politik berikutan percubaan bekas ketua menteri Musa Aman untuk melakukan rampasan kuasa.