- Iklan -
Berita

Pandemik sebabkan kelahiran mendadak, bukan kelahiran luar biasa

Pakar perubatan menolak ramalan akan ada kadar kelahiran bayi luar biasa (baby boom) disebabkan PKP

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Sepasang suami isteri berjalan berpimpin tangan di sebuah kompleks membeli belah di Shah Alam, Selangor. Gambar: MalaysiaNow
Sepasang suami isteri berjalan berpimpin tangan di sebuah kompleks membeli belah di Shah Alam, Selangor. Gambar: MalaysiaNow

Laporan anekdotal kesihatan memberikan gambaran dan teori kawalan pergerakan baru-baru ini yang mengurung semua orang kecuali petugas barisan hadapan akan mengakibatkan kadar kelahiran bayi luar biasa (baby boom).

Bagaimanapun, Pakar dan Konsultan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Dr John Teo percaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 bakal memberi kesan sebaliknya.

Bukannya “baby boom” tetapi “baby bust” atau kadar kelahiran bayi mendadak.

Ini kerana, katanya, pada peringkat awal terdapat pasangan suami isteri yang terpisah sewaktu tempoh kawalan pergerakan ekoran sekatan perjalanan rentas negeri.

Selepas 10 Mei, hampir dua bulan selepas PKP dilaksanakan, pasangan suami isteri yang tinggal di negeri berbeza dibenarkan untuk bertemu.

Menurut Dr John, impak ekonomi disebabkan pandemik itu juga memberi kesan kepada isi rumah malah pengakhirannya belum boleh diramal.

Atas sebab itu kehamilan yang tidak dirancang boleh menjadi satu “khabar buruk” bagi ramai wanita dan keluarga mereka.

Katanya, tidak semua pasangan mengalami perjalanan kuarantin yang sama sepanjang tempoh tersebut.

Terutama sekali apabila laporan-laporan media tempatan yang mendedahkan ramai keluarga berdepan kemelut kewangan dan kehilangan pekerjaan dalam tempoh PKP dan ini mengakibatkan pasangan memiliki tahap kebimbangan tinggi.

“Ini bukan cara terbaik untuk meningkatkan kesuburan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, hubungan intim memerlukan pasangan berada dalam kondisi tenang, mood baik dan persekitaran yang kurang tekanan emosi.

Sebelum ini, rata-rata media melaporkan Malaysia menjangkakan kadar kelahiran bayi luar biasa dalam tempoh setahun.

Ia susulan perintah kerajaan memulakan PKP fasa pertama dari 18 hingga 31 Mac dan menyambung ke fasa kedua mulai 1 April hingga 14 untuk mengekang penyebaran Covid-19 dalam negara yang mewajibkan semua orang kecuali petugas barisan hadapan untuk berada di rumah masing-masing.

Menurut Dr John, masalah ekonomi ditambah dengan bencana alam yang serentak boleh menyebabkan tahap kesihatan reproduksi berlaku.

Mengambil contoh kajian tentang kesan awal pandemik Covid-19 yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS), didapati sebanyak 40% wanita mengubah rancangan untuk melahirkan dan menambah bilangan cahaya mata.

Disebabkan itu, katanya, sesuatu perlu dilakukan pada waktu ini membantu wanita dan pasangan untuk merancang keluarga mereka. Pihak berkuasa kesihatan, agensi kerajaan dan semua pengamal perubatan perlu memainkan peranan masing-masing dalam situasi ini.

Ini termasuk akses kepada pil perancang kehamilan, penjelasan mengenai persepsi terhadap pengambilan ubat pencegah kehamilan dan memastikan farmasi mempunyai bekalan pil perancang yang tidak terganggu.

“Cara ini adalah tunggak utama di mana pemulihan ekonomi yang lebih cepat dapat dicapai dan membantu banyak komuniti dan keluarga kembali kukuh,” katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran bersetuju dengan pendangan Dr John.

Beliau berkata, kadar kelahiran bayi luar biasa (baby boom) hampir mustahil berlaku atas sebab kaum wanita dan ibu lebih cakna akan keadaan ekonomi rumah tangga masing-masing.

Katanya, pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan kewangan rakyat tetapi juga perancangan keluarga, Atas sebab itu, “baby boom” tidak dijangka akan berlaku.

Sementara Dr John pula berkata, data yang kukuh mengenai kadar kelahiran bayi dalam tempoh PKP mungkin hanya boleh diakses dalam tempoh 9 bulan hingga setahun akan datang selepas para ibu selamat melahirkan.

MalaysiaNow sedang mendapatkan rekod pendaftaran pemeriksaan bagi ibu mengandung di hospital-hospital kerajaan dan swasta sejak tempoh pelaksanaan PKP hingga kini daripada Kementerian Kesihatan untuk laporan lanjut.