- Iklan -
Berita

Sabah perlukan kerajaan sehaluan dengan persekutuan, kata PM

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Sabah perlu memilih kerajaan yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) yang sudah terbukti berkeupayaan membantu rakyat semasa negara berdepan dengan masalah akibat penularan Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri) bertemu dengan calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) N53 Sekong Hazulizah Mohd Tani selepas merasmikan Program Ramah Mesra Perdana Menyeri bersama Sahabat Kudat anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia di Dewan Tun Mustapha hari ini. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Sabah perlukan sebuah kerajaan yang boleh bergerak membantu meringankan beban rakyat yang kini terkesan dengan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Sabah perlu memilih kerajaan yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) yang sudah terbukti berkeupayaan membantu rakyat semasa negara berdepan dengan masalah akibat penularan Covid-19.

“Ekonomi Sabah perlu cepat dipulihkan. Saya tidak mengatakan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal tidak bagi apa-apa namun ia tidak cukup kerana tiada kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Kota Marudu, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee dan calon PN bagi kerusi Bandau Wetrom Bahanda.

Rakyat Sabah akan mengundi pada 26 Sept ini manakala pengundian awal pada 22 Sept.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata jangan ada mana-mana pihak cuba memperlekehkan bantuan daripada kerajaan persekutuan kerana ia sangat diperlukan rakyat.

“Jangan cakap saya menjajah Sabah…ada juga cakap kononnya saya tidak buat apa-apa. Saya baru tujuh bulan memerintah dan kerajaan PN terbukti adalah kerajaan berkesan dan ‘functional’ (menjalankan fungsi dan peranan). Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengiktiraf Malaysia antara terbaik menangani penularan Covid-19.

“Walaupun singkat, kerajaan PN mempunyai banyak pengalaman dan mampu menjalankan tugas yang mencabar (dalam menghadapi pandemik itu) yang belum pernah berlaku di dunia sebelum ini.

“Saya tidak boleh menjanjikan bulan dan bintang kerana saya bukan Tuhan, namun saya berjanji akan berusaha membantu memulihkan ekonomi rakyat dan negara,” katanya.

Justeru, beliau berkata penyokong dan jentera parti PN perlu bersama-sama membantu menerangkan kepada rakyat tentang apa yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam usaha menangani masalah Covid-19.