- Iklan -
Berita

Bekas peguam didakwa atas 8 pertuduhan penipuan

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima yang bacakan di hadapan Majistret Vanita, tertuduh didakwa menipu Jude Ignatius Lazaroo, 59, untuk melakukan pengeluaran wang komisen berjumlah RM4.36 juta daripada Bank Negara Malaysia dan berjanji akan memberi wang imbuhan untuknya sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM17,400 ke dalam akaun CIMB Bank milik tertuduh, sedangkan pengeluaran wang komisen itu tidak wujud.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang bekas peguam didakwa atas 8 pertuduhan penipuan di Mahkamah Majistret Seremban. Gambar: Facebook
Seorang bekas peguam didakwa atas 8 pertuduhan penipuan di Mahkamah Majistret Seremban. Gambar: Facebook

Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di Seremban hari ini, atas lapan pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berkaitan pengeluaran wang komisen berjumlah RM4.36 juta, dua tahun lepas.

Tertuduh, N.G. Annie Maria, 60, membuat pengakuan itu selepas kesemua lapan pertuduhan dibacakan  di hadapan Majistret V. Vanita dan Majistret Mahyun Yusof, pada prosiding kes yang dijalankan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima yang bacakan di hadapan Majistret Vanita, tertuduh didakwa menipu Jude Ignatius Lazaroo, 59, untuk melakukan pengeluaran wang komisen berjumlah RM4.36 juta daripada Bank Negara Malaysia dan berjanji akan memberi wang imbuhan untuknya sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM17,400 ke dalam akaun CIMB Bank milik tertuduh, sedangkan pengeluaran wang komisen itu tidak wujud.

Bagi pertuduhan keenam hingga kelapan yang dibacakan di hadapan Majistret Mahyun, Annie Maria didakwa menipu individu sama bagi tujuan sama sehingga mendorongnya memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM39,900 ke dalam akaun bank yang sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Wisma TNB, No 19, Jalan Timur, Petaling Jaya, Selangor dan di No 31 Off Persiaran Seremban 3, Seremban, antara 9 Feb 2018 hingga 22 Feb 2019.

Kesemua pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen420Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan di hadapan Majistret Vanita dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia L. Rathna dan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainol mengendalikan pendakwaan di hadapan Majistret Mahyun manakala tertuduh diwakili peguam M. Gobinathan.

Gobinathan ketika rayuan di kedua-dua mahkamah memohon agar anak guamnya diberikan jaminan yang rendah memandangkan dia telah lima tahun tidak bekerja selain perlu menanggung bapanya yang sudah tua.

Majistret Vanita dan Majistret Mahyun membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM11,000 dan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 1 Okt sebagai tarikh serahan dokumen.