Wednesday, June 23, 2021

SPRM dijangka dakwa beberapa individu berhubung pembelian hartanah Australia

Other News

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mendakwa beberapa individu berhubung kes pembelian hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya berbincang dengan timbalan pendakwa raya bagi melihat pertuduhan-pertuduhan yang boleh dikenakan mengikut undang-undang ke atas individu tertentu berdasarkan bukti dan keterangan yang bakal diperoleh daripada Australian Federal Police (AFP).

“Jika undang-undang membolehkan kami mendakwa mereka, maka kami akan mendakwa individu-individu tertentu untuk kes Mara.

“Baru-baru ini, dilaporkan beberapa orang dituduh (di Australia) oleh AFP.  Beberapa keterangan yang kita nak di sana (Australia) mungkin akan diperolehi secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum Korporat Liabiliti di Kuala Lumpur, hari ini.

Azam berkata siasatan SPRM terhadap kes ini selesai di peringkat domestik dan pihaknya sudah beberapa kali memberi jawapan di Parlimen.

Apabila ditanya adakah SPRM telah bertemu dengan tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam kes terbabit, beliau enggan mengulas lanjut.

Pada 2015, sayap pelaburan Mara itu terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Akhbar itu mendakwa “sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya” terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, iaitu agensi yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Sementara itu Azam berkata tiada aduan atau kes diterima berhubung rasuah dan salah guna kuasa sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah setakat ini.

Mengulas mengenai perkembangan lanjut isu 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion di bawah pimpinan kerajaan sebelum ini, Azam berkata pihaknya masih belum membuka sebarang kertas siasatan mengenainya.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles