- Iklan -
Berita

PM nasihat usahawan urus kewangan dengan bijak

Nor Hazima Abdul Jalal yang mengusahakan kedai makan di Pendang, Kedah sejak 17 Okt 2019 berkongsi kejayaannya meraih pendapatan RM6,000 sebulan hasil jualan pelbagai makanan seperti laksa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berinteraksi secara maya bersama peniaga gerai makan yang merupakan peserta program empowerNCER, Nor Hazima Abdul Jalal selepas mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23 (PB23) hari ini. Gambar: Bernama

Uruskan kewangan dengan bijak. Demikian nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada  dua usahawan bimbingan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Muhyiddin memberikan nasihat itu menerusi panggilan video melibatkan dua usahawan program empowerNCER terbabit selepas  mempengerusikan mesyuarat Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23 di Pulau Pangkor di Lumut hari ini.

“Saya sangat sukacita mendengar (kisah) daripada pendapatan kecil sekarang dah berjaya, teruskan usaha, besarkan lagi perniagaan.

“Uruskan kewangan secara bijak, jangan berbelanja besar. Nak berniaga jangan hanya harap pinjaman bank, simpan sendiri untuk besarkan perniagaan. Tahniah,” katanya.

Nor Hazima Abdul Jalal yang mengusahakan kedai makan di Pendang, Kedah sejak 17 Okt 2019 berkongsi kejayaannya meraih pendapatan RM6,000 sebulan hasil jualan pelbagai makanan seperti laksa.

Nor Hazima berkata beliau sebelum ini merupakan peserta Kasih Ibu Darul Aman (Kida) iaitu satu program kebajikan yang dikhususkan bagi golongan ibu yang kurang berkemampuan (B40).

“Hasil program empowerNCER, saya bukan sahaja berjaya keluar daripada Kida,  tetapi kini ada perniagaan sendiri dan boleh menggaji pekerja. Saya nak besarkan lagi perniagaan ini,” katanya.

Seorang lagi usahawan, Diani Iqlema Mohd Radzi mengusahakan penternakan udang kara dan azzola iaitu sejenis alga yang dijadikan makanan ikan di bawah bimbingan NCER sejak dua tahun lalu.

“Bantuan modal (tunai) tiada. Tapi pihak NCER bagi bantuan dari segi emosi, sokongan semua,” katanya, menambah permintaan terhadap udang kata sangat tinggi dengan harga mencecah RM100 sekilogram.