- Iklan -
Berita

Polis beri jaminan selesai isu keluarga Indira Gandhi

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya mahu menyelesaikan isu itu dengan cara tersendiri tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak supaya Indira Gandhi dapat disatukan semula dengan anaknya, Prasana Diksa, 11.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador (depan tiga, kanan) menerima sijil pengiktirafan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM sebagai  ‘Approved Training Organisation - Flight Training Organisation’ (ATO-FTO) dan ‘Approved Training Organisation - Type Rating Training Organisation’ (ATO-TRTO) daripada Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Mohd Khairul Adib Abd Rahman (depan dua, kiri) di PLPGU, Ipoh hari ini. Gambar: Bernama

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut antara M.Indira Gandhi dengan bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah yang kini berada di luar negara.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya mahu menyelesaikan isu itu dengan cara tersendiri tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak supaya Indira Gandhi dapat disatukan semula dengan anaknya, Prasana Diksa, 11.

“Biar polis buat kerja dan kita tak mahu bising-bising. Saya tak mahu ada unsur politik atau mana-mana pihak berkepentingan untuk masuk campur sebab isu ini begitu sensitif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM sebagai ‘Approved Training Organisation-Flight Training Organisation’ (ATO-FTO) dan ‘Approved Training Organisation-Type Rating Training Organisation’ (ATO-TRTO) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di PLPGU Ipoh di Ipoh hari ini.

Menurutnya polis tidak pernah berdiam diri dalam menyelesaikan kes itu, malah melantik seorang pegawai kanan tinggi untuk menghubungi dan berunding dengan Riduan, agar dia dapat mengikut perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah sebelum ini.

“Kita mempunyai masalah kekangan untuk membawa beliau (Riduan) balik ke sini (Malaysia). Bagaimanapun, kita sentiasa berunding sejak tahun lepas untuk memujuk beliau walaupun tidak dapat bersemuka antara kedua-dua pihak.

“Komunikasi dengan Riduan pada ketika rundingan itu amat positif, tetapi apabila ada berita yang tidak berapa baik disiarkan dalam akhbar serta komen negatif daripada pelbagai pihak, beliau bertindak berundur diri (untuk menyelesaikan masalah),” katanya.

Ketika ini belum ada sebarang petunjuk mengenai lokasi Riduan yang hilang bersama Prasana Diksa pada 2011.

Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, Indira Gandhi hampir 10 tahun lepas kepada Islam adalah terbatal serta tidak sah di sisi undang-undang.