- Iklan -
Berita

Umno tanding 31 DUN, Musa Aman tiada dalam senarai

Beliau berkata bekas ketua menteri Sabah Dr Salleh Said Keruak yang juga bekas menteri Komunikasi dan Multimedia akan bertanding di DUN Usukan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sabah Barisan Nasional chairman Bung Moktar Radin waves at an event in Kota Kinabalu today. Photo: Bernama
Sabah Barisan Nasional chairman Bung Moktar Radin waves at an event in Kota Kinabalu today. Photo: Bernama

Umno bakal bertanding di 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan ini dengan bekas ketua menteri Musa Aman tidak tersenarai kerana tidak pernah memohon untuk menjadi calon parti itu atau Barisan Nasional (BN).

“(Bekas Ketua Menteri Sabah) Musa Aman tidak memohon untuk menjadi calon Umno dan BN,” kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin BN dan Bersatu di Kota Kinabalu hari ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah dan ahli Parlimen Kinabatangan berkata beliau sendiri bakal bertanding di DUN Lamag, satu daripada 13 DUN baru di Sabah.

Beliau berkata bekas ketua menteri Sabah Dr Salleh Said Keruak yang juga bekas menteri Komunikasi dan Multimedia akan bertanding di DUN Usukan.

Sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan pada PRN Sabah kali ini, tambahan 13 kerusi baru hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan penamaan calon Sabtu ini dan pengundian pada 26 Sept.

Seorang lagi pemimpin Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri tiada dalam senarai calon.

Bung Moktar berkata calon yang dipilih adalah dalam kalangan yang terbaik dan diyakini mampu memenangi kerusi di kawasan masing-masing.

“Calon yang dipilih dilihat dari segi latar belakang, mesra rakyat dan yang paling penting calon itu diterima oleh rakyat dan mampu menang,” katanya.

Umno meletakkan 95 peratus muka baru serta menampilkan dua calon wanita pada pilihan raya negeri kali ini.

“Daripada 31 orang calon,  95 peratus adalah muka baharu. Dua wanita,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor, Bung Moktar berkata semua ahli Umno digesa agar tidak mempertikai keputusan calon yang dibuat pemimpin parti itu.

“Saya minta maaf kepada kawan-kawan saya, perkara paling sukar dalam hidup saya ialah menentukan agihan kerusi dan tentukan calon yang bertanding,” kata Bung Moktar.