- Iklan -
Berita

PN perkenal logo dalam himpunan bersejarah di Sabah

Berucap pada majlis itu, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin berkata beliau kagum melihat penerimaan kehadiran ramai penyokong pada himpunan berkenaan yang sekali gus menunjukkan parti perikatan tersebut diterima baik rakyat Sabah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perikatan Nasional leaders at an event in Sabah ahead of the state election on Sept 26. Photo: Bernama
Perikatan Nasional leaders at an event in Sabah ahead of the state election on Sept 26. Photo: Bernama

Perikatan Nasional (PN) malam tadi melakar sejarah apabila buat pertama kalinya mengadakan himpunan dihadiri semua pemimpin utama dan para penyokong parti komponennya di Sabah.

Himpunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di Kota Kinabalu, itu turut menyaksikan buat julung kalinya bendera dan logo PN diperkenalkan kepada para penyokong gabungan parti berkenaan.

Turut hadir Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor, Presiden STAR Dr Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Yong Teck Lee, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung PBS Jahid Jahim.

Berucap pada majlis itu, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin berkata beliau kagum melihat penerimaan kehadiran ramai penyokong pada himpunan berkenaan yang sekali gus menunjukkan parti perikatan tersebut diterima baik rakyat Sabah.

“Tidak ada parti (gabungan) di Sabah yang begitu baru tetapi berjaya mengumpulkan seberapa ramai untuk bersama-sama berjuang. Pasukan kita adalah pasukan yang kuat. Kita bersama-sama menentukan negeri ini akan dipimpin pasukan kita.

“Justeru, kita perlu bersatu dan bekerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah… kita perlu bersolidariti untuk bersama-sama ambil alih kerajaan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Hajiji, ketika berucap, berkata beliau mahu semua pemimpin PN bersatu hati dan bekerjasama dalam mendepani PRN Sabah pada kali ini bagi memastikan perjuangan mengambil alih kerajaan negeri berjaya.

“Apa yang penting, kita atur baik-baik agihan kerusi… kalau kita gaduh kita akan menghadapi masalah. Oleh itu, kita perlu ambil kesempatan ini untuk bersatu dalam PN. Kita tukar balik kerajaan negeri kerana kita mahu Sabah sehaluan dengan kerajaan persekutuan…kita mahu keselamatan Sabah terjamin,” katanya.

Jeffrey dalam ucapannya pula memberi jaminan akan terus menyokong dan berdiri teguh dalam PN.

“Saya berdiri di sini hari ini kerana menyokong PN. Kadangkala saya ‘bising’ kerana saya ingin menyatakan luahkan hati rakyat dan pertama kalinya saya percaya kepimpinan di Kuala Lumpur yang diterajui PN adalah adil dan menghormati hak rakyat Sabah, sebab itu saya sokong PN.

“Dalam PRN Sabah kali ini kita perlu lawan secara berpasukan. Oleh itu pasukan kita perlu kuat seiring menentang lawan…saya yakin kerajaan di bawah PN akan disokong oleh rakyat dan akan menang dalam PRN Sabah pada 26 Sept ini,” katanya.

Sementara itu, Yong berkata PN akan membawa harapan baharu kepada rakyat Malaysia di Sabah.