- Iklan -
Berita

Rina Harun, syarikat bincang untuk selesai saman tuntut hutang

Katanya mahkamah juga memerintahkan Rina untuk hadir pada tarikh tersebut berikutan anak guamnya itu tidak dapat hadir di mahkamah hari ini kerana ada hal kecemasan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun ditemui pengamal media selepas sambutan Hari Wanita Kebangsaan di pusat beli belah Alamanda baru-baru ini. Gambar: Bernama
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun ditemui pengamal media selepas sambutan Hari Wanita Kebangsaan di pusat beli belah Alamanda baru-baru ini. Gambar: Bernama

Kes saman penghutang penghakiman difailkan sebuah syarikat produksi berpusat di Paris yang menuntut Rina Harun membayar sejumlah wang akan diselesaikan secepat mungkin, menurut peguam yang mewakili menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu.

Peguam Hussin Mohd Razak memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes saman penghutang penghakiman itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Farah Shuhada Ramli hari ini.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 22  Okt untuk pengurusan  kes bagi kedua-dua pihak memaklumkan status perbincangan penyelesaian itu.

Katanya mahkamah juga memerintahkan Rina untuk hadir pada tarikh tersebut berikutan anak guamnya itu tidak dapat hadir di mahkamah hari ini kerana ada hal kecemasan.

Hussin berkata anak guamnya yang mencadangkan kepada syarikat Sarl Novovision untuk menyelesaikan kes saman itu.

“Beliau  (Rina) akan berbincang mengenai jumlah yang boleh dipersertujui  oleh syarikat itu. Anak guam saya juga menyerahkan beberapa keping cek kepada syarikat itu hari ini berhubung perbincangan penyelesaian itu,” katanya.

Peguam Mark Ho yang mewakili Sarl Novovision berkata Rina mencadangkan perjanjian penyelesaian dengan anak guamnya, namun pihaknya tidak dapat mendedahkan terma penyelesaian.

“Hari ini pihak berkenaan (menteri) sudah menyerahkan cek sebagai pembayaran ansuran,” katanya yang enggan menyatakan jumlahnya.

Mengikut laporan portal, Rina yang merupakan salah seorang pengarah syarikat Eurofine (M) Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd dan Fine TV Network Sdn Bhd, membeli beberapa rancangan komedi dan dokumentari daripada syarikat pengeluaran Sarl Novovision antara 2011 dan 2013.

Bagaimanapun, ketiga-tiga syarikat berkenaan ditutup masing-masing antara Disember 2013 dan Ogos 2015.

Rina dan satu pihak lagi pada bulan Mei 2014 mengadakan perjanjian jaminan dengan Sarl Novovision bahawa mereka akan menanggung semua tanggungjawab syarikat.