- Iklan -
Berita

Guan Eng akan didakwa dengan 2 lagi pertuduhan Jumaat ini

Wan Shaharuddin berkata, pertuduhan yang akan dihadapi Lim Jumaat ini, merupakan pertuduhan terakhir bagi kontroversi projek terowong dasar laut yang menjadi perhatian, sejak beberapa tahun lalu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
DAP secretary-general Lim Guan Eng. Photo: Bernama
DAP secretary-general Lim Guan Eng. Photo: Bernama

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, akan menghadapi dua pertuduhan baru berkaitan penyalahgunaan harta, di Mahkamah Sesyen Butterworth, Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin, pada sebutan kes rasuah Lim yang juga merupakan bekas ketua menteri Pulau Pinang, yang didakwa meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

“Pihak pendakwaan sudah menyerahkan notis kepada tertuduh pagi ini, untuk memaklumkan mengenai dua pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu,” katanya semasa sebutan semula kes rasuah itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Wan Shaharuddin berkata, pertuduhan yang akan dihadapi Lim Jumaat ini, merupakan pertuduhan terakhir bagi kontroversi projek terowong dasar laut yang menjadi perhatian, sejak beberapa tahun lalu.

Seksyen 403 KK, berkaitan kesalahan penyalahgunaan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, 60, mengesahkan, anak guamnya sudah menerima notis tersebut, bagaimanapun berkata pihaknya masih belum melihat dua pertuduhan baru itu.

Pada 7 Ogos, Lim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth, atas satu pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Pada 10 Ogos lepas, Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta, sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 billion.

Zarul merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Pada 11 Ogos pula, Lim sekali lagi didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), untuk rasuah wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.