- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan sambung pendengaran kes pembubaran DUN Sabah

Panel tiga hakim dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil mula mendengar rayuan itu semalam dan terpaksa menangguhkan ke hari ini selepas mendengar sebahagian daripada hujahan sehingga petang semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Rayuan menolak permohonan 33 Adun untuk cabar pembubaran DUN Sabah. Gambar: Bernama
Mahkamah Rayuan menolak permohonan 33 Adun untuk cabar pembubaran DUN Sabah. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan tengah hari tadi menyambung semula pendengaran rayuan kes berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil mula mendengar rayuan itu semalam dan terpaksa menangguhkan ke hari ini selepas mendengar sebahagian daripada hujahan sehingga petang semalam.

Dua anggota panel hakim tersebut ialah Abu Bakar Jais dan Supang Lian.

Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman dan 32 Ahli DUN merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.

Mahkamah sedang mendengar hujahan daripada peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, mewakili 33 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan, Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh, mewakili Juhar dan Dr Cyrus Das mewakili Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal dan kerajaan negeri Sabah.

Firoz menyelesaikan hujahannya semalam manakala Das akan menyambung hujahannya hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan pembubaran DUN Sabah, SPR menetapkan 12 Sept ini sebagai tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian pada 26 Sept .