Saturday, September 18, 2021

Lebih 20% kawasan terlibat pulih sepenuhnya, kata Air Selangor

Other News

Sebanyak 281 atau 21.75 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang pulih sepenuhnya setakat 9.30 malam tadi, manakala baki masih lagi dalam proses pemulihan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata Kuala Selangor mencatatkan peratus pemulihan bekalan air tertinggi iaitu 91.7 peratus, diikuti Hulu Selangor (35.29 peratus), Petaling (10.20 peratus) dan Gombak (0.36 peratus).

Tiga lagi wilayah iaitu Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam dan Kuala Langat masih belum mencapai angka peratus pemulihan (0 peratus).

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi.

Elina berkata Air Selangor turut memohon kerjasama pelanggan yang sudah menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Katanya Air Selangor turut memberi jaminan kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan.

Air Selangor turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan bantuan lori tangki daripada operator air negeri serta agensi-agensi lain bagi membantu mengagihkan air kepada para pengguna yang terjejas, antaranya Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles