- Iklan -
Berita

545 ahli Amanah Selangor keluar parti, sertai Bersatu

Seramai 545 ahli Amanah Kota Raja hari ini umum keluar parti berkuat kuasa serta merta dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menyatakan tertarik dengan kepimpinan Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Borang keahlian itu diserahkan wakil kumpulan berkenaan yang juga bekas Naib Pengerusi 3 Amanah Kota Raja, Jaafar Samsuddin kepada Pengerusi Badan […]

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kota Raja Amanah vice-chairman 3, Jaafar Samsuddin (seated, second left) announces the exit of 545 members today. Photo: Bernama
Kota Raja Amanah vice-chairman 3, Jaafar Samsuddin (seated, second left) announces the exit of 545 members today. Photo: Bernama

Seramai 545 ahli Amanah Kota Raja hari ini umum keluar parti berkuat kuasa serta merta dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menyatakan tertarik dengan kepimpinan Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Borang keahlian itu diserahkan wakil kumpulan berkenaan yang juga bekas Naib Pengerusi 3 Amanah Kota Raja, Jaafar Samsuddin kepada Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari.

Menurut Jaafar, antara faktor membuatkan mereka tertarik menyertai Bersatu adalah sifat kesederhanaan dan kepimpinan ditonjolkan Muhyiddin selain keupayaannya menjaga kebajikan rakyat tatkala penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Kita lihat, (kepimpinan) Amanah tidak memainkan peranan penting dalam membela rakyat, aspek penjagaan kawasan dan keprihatinan kepada ahli. Ahli parti rasa tidak terbela walaupun sekian lama bekerja untuk parti.

“Disebabkan itu kami memilih untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional yang wadah perjuangannya untuk membangun serta membela rakyat. Sebagai anak jati Kota Raja, diharapkan parti ini dapat membawa perubahan di kawasan kami,” katanya yang juga bekas ahli jawatankuasa Amanah Negeri Selangor pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rashid menafikan dakwaan kira-kira 3,000 ahli Bersatu Selangor keluar parti kerana pihaknya hanya mengesan 122 ahli saja yang meninggalkan parti berkenaan setakat ini.

Katanya, jumlah ahli yang keluar parti itu turut melibatkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) daripada Bersatu bagi kawasan Kuang, Jeram dan Batang Kali untuk menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diasaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata jumlah ahli Bersatu di Selangor setakat ini sudah melebihi 50,000 orang dengan 5,000 daripadanya terdiri dalam kalangan bukan Melayu.