- Iklan -
Berita

Guan Eng dakwa SPRM bohong

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbohong kerana menafikan usaha menyekatnya memasuki ke negeri Sabah pada malam Selasa lalu. “SPRM berbohong kerana menafikan bahawa mereka cuba menyekat saya memasuki Sabah dan juga menceroboh hak Sabah dengan melanggar kuasa Imigresen ketua menteri Sabah. “Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal mengesahkan secara […]

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
DAP secretary-general Lim Guan Eng. Photo: Bernama
DAP secretary-general Lim Guan Eng. Photo: Bernama

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbohong kerana menafikan usaha menyekatnya memasuki ke negeri Sabah pada malam Selasa lalu.

“SPRM berbohong kerana menafikan bahawa mereka cuba menyekat saya memasuki Sabah dan juga menceroboh hak Sabah dengan melanggar kuasa Imigresen ketua menteri Sabah.

“Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal mengesahkan secara peribadi kepada saya sebuah laporan berita yang mengatakan bahawa saya pada mulanya disekat memasuki Sabah kerana saya berada dalam senarai pemantauan SPRM.

“Ini membuktikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berbohong apabila dia menafikan bahawa SPRM menyekat saya memasuki Sabah,” kata bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu tiba di Kota Kinabalu ddengan menggunakan pas lawatan sosial pada jam 11:54 malam.

Bagaimanapun ketika mahu memasuki kereta yang menjemputnya, Lim diminta masuk semula ke lapangan terbang oleh seorang pegawai kanan imigresen.

“Setelah beberapa ketika saya mengatakan kepada mereka bahawa hanya Ketua Menteri Sabah dan bukan SPRM yang boleh menyekat saya memasuki Sabah, pegawai Imigresen berkenaan membenarkan saya pergi selepas 40 minit,” katanya.

“Sekarang Shafie mengesahkan bahawa dia tidak melarang saya memasuki Sabah, tetapi diberitahu oleh pengarah Jabatan Imigresen Sabah bahawa perintah ‘sekatan’ diberikan SPRM, Azam Baki harus tampil secara telus dengan mengatakan perkara yang sebenarnya.

“Sekiranya SPRM boleh membohongi perkara yang begitu mudah, ada kebimbangan yang jelas SPRM sengaja menyasarkan saya semata-mata kerana alasan politik,” katanya.

Semalam Azam yang mengulas dakwaan terhadap badan pencegah rasuah itu menafikan SPRM menghalang Lim melakukan perjalanan dalam negara.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata, mungkin ada kesilapan sehingga Lim ditahan ketika tiba di Kota Kinabalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim mengkritik SPRM yang dituduhnya “pilih kasih” kerana tidak mengenakan “sekatan serupa” ke atas bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi daripada memasuki Sabah walaupun mereka juga berdepan kes mahkamah.

Lim berdepan pertuduhan rasuah berkaitan projek terowong dan lebuh raya di Pulau Pinang.

Isterinya, Betty Chew juga berdepan pertuduhan rasuah. Kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah untuk semua pertuduhan.