- Iklan -
Berita

SPRM belum buka kertas siasatan 101 projek rundingan terus PH

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini belum membuka kertas siasatan berhubung 101 projek rundingan terus yang diluluskan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata  Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki. Beliau berkata pihak SPRM masih membuat analisis terhadap kesemua projek berkenaan sama ada ia mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya. “Di bawah amalan Perbendaharaan, ada tiga kaedah untuk mengeluarkan […]

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
MACC chief commissioner Azam Baki. Photo: Bernama
MACC chief commissioner Azam Baki. Photo: Bernama

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini belum membuka kertas siasatan berhubung 101 projek rundingan terus yang diluluskan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata  Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki.

Beliau berkata pihak SPRM masih membuat analisis terhadap kesemua projek berkenaan sama ada ia mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya.

“Di bawah amalan Perbendaharaan, ada tiga kaedah untuk mengeluarkan tender bagi sesuatu projek dan salah satunya adalah secara rundingan terus.

“Kita sekarang sedang melihat dan mengkaji senarai syarikat yang menerima projek-projek berkenaan dan menilai sama ada terdapat unsur rasuah ataupun tidak dalam rundingan tersebut,” katanya pada sesi soal jawab bersempena Program Cakna Rasuah:SPRM Bersama Media Zon Selatan di Melaka hari ini.

Pada 24 Ogos lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat  mendedahkan bahawa pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan, meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata sejak 2015 hingga Ogos 2020, sebanyak 1,196 maklumat telah diterima oleh SPRM Melaka berhubung rasuah dan salah guna kuasa yang dilaporkan oleh orang awam.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 427 fail sudah dibuka dan 119 penjawat awam telah ditangkap dan didakwa di mahkamah atas kesalahan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan.