- Iklan -
Berita

Mitos hanya satu parti Melayu berakhir, kata Pemuda Bersatu

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengatakan zaman di mana hanya satu parti Melayu sahaja yang berkuasa sudah berakhir. Timbalan menteri Belia dan Sukan itu turut menyeru agar “muafakat ikhlas” antara parti-parti politik yang berteraskan Melayu. “Saya rasa orang Melayu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah boleh memilih. “Dah keluar dari […]

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Zaman hanya satu parti Melayu sudah berakhir, kata Wan Ahmad Fayhsal.
Zaman hanya satu parti Melayu sudah berakhir, kata Wan Ahmad Fayhsal.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengatakan zaman di mana hanya satu parti Melayu sahaja yang berkuasa sudah berakhir.

Timbalan menteri Belia dan Sukan itu turut menyeru agar “muafakat ikhlas” antara parti-parti politik yang berteraskan Melayu.

“Saya rasa orang Melayu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah boleh memilih.

“Dah keluar dari kepompong lama seolah-olah ada satu parti Melayu sahaja. Saya rasa itu satu mitos yang sudah tamat. Kehadiran Bersatu, Amanah, PKR walaupun PKR tidak kelihatan parti Melayu tetapi pemimpin adalah Melayu,” katanya semasa berucap pada konvensyen “Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN)” di Kuala Lumpur petang semalam.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, orang Melayu maju apabila mereka diwakili oleh pelbagai pihak.

Beliau turut menyeru perpaduan antara parti-parti berteraskan orang Melayu.

“Kepelbagaian parti-parti Melayu tidak harus dijadikan sebagai kelemahan.

“Sebaliknya kalau ada ruang muafakat yang telah diusulkan oleh saudara, Muafakat Nasional atau muafakat ummah. Ini perkara yang patut didokong.

“Saya fikir formula politik yang dipejuangkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pimpinan-pimpinan parti besar Melayu seperti Umno dan PAS adalah sesuatu perkara yang perlu kita teroka secara adil dan ikhlas agar kekuatan yang kita jana daripada kesepakatan ini dapat benar-benar melahirkan potensi,” katanya.

Ucapan timbalan menteri belia dan sukan itu diungkapkan pada ketika Bersatu dan Umno sedang berbeza pendapat dalam beberapa hal.

Umno menolak untuk menyertai secara rasmi gabungan parti pemerintah PN dan membuat tuntutan berani ketika parti-parti dalam kerajaan sedang membincangkan pembahagian kerusi untuk PRU15.

Hari ini di Dewan Negara, Bersatu dan Umno mencalonkan calon masing-masing untuk menjawat jawatan Yang di-Pertua.

Konvensyen hari ini dihadiri oleh Presiden Bersatu Muhyiddin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin.

Presiden Umno Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki sepatutnya dijadualkan berucap pada konvensyen itu tetapi tidak hadir kerana dikatakan sedang berada di Sabah untuk persiapan menjelang pilihan raya negeri pada 26 September.