- Iklan -
Berita

Majoriti pengundi Melayu setuju keputusan Najib bersalah

Enam daripada 10 pengundi Melayu bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menetapkan bekas perdana menteri, Najib Razak bersalah kerana salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, kata Merdeka Centre. “61% responden dalam kaji selidik ini setuju dengan keputusan mahkamah manakala 18% menjawab sebaliknya. “Kami dapati 57% pengundi Melayu juga setuju dengan keputusan mahkamah,” […]

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengurusan kes SRC Najib Razak pada 15 Oktober. Gambar: Bernama
Pengurusan kes SRC Najib Razak pada 15 Oktober. Gambar: Bernama

Enam daripada 10 pengundi Melayu bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menetapkan bekas perdana menteri, Najib Razak bersalah kerana salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, kata Merdeka Centre.

“61% responden dalam kaji selidik ini setuju dengan keputusan mahkamah manakala 18% menjawab sebaliknya.

“Kami dapati 57% pengundi Melayu juga setuju dengan keputusan mahkamah,” kata Ketua Penyelidik Merdeka Centre Ibrahim Suffian dalam satu kenyataan hari ini.

Merdeka Centre menjalankan kaji selidik bermula 15 Julai hingga 10 Ogos, melibatkan 3,415 pengundi berdaftar terdiri daripada 52% Melayu, 29% Cina, 7% India, 6% Bumiputera Islam dan 6% Bumiputra bukan Islam (dari Sabah dan Sarawak).

Pada 28 Julai lepas, mahkamah mendapati Najib bersalah dan bekas presiden Umno itu dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta.

Najib dihukum penjara 12 tahun kerana salah guna kuasa dan 10 tahun masing-masing atas enam tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Pada ketika ini, hukuman yang akan dijalankan serentak itu ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan.

Najib didakwa kerana wang sebanyak RM42 juta dipindahkan daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun peribadinya.

Najib menafikan semua tuduhan terhadapnya, sebaliknya menyalahkan ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.